Pemandu nyaris rentung kereta Gen2 terbakar di Sungai Buloh


  • Tular
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan sebuah kereta mengalami kebakaran di Jalan Selamat, berhampiran MRT Sungai Buloh, Selangor.

KESESAKAN jalan yang teruk berlaku di Jalan Kampung Selamat, Sungai Buloh pada Jumaat apabila sebuah kereta terlibat dalam kebakaran dan rentung sepenuhnya.

Kejadian itu terjadi apabila kenderaan terbabit mengalami kerosakan dan api mula marak di bahagian bawah enjin sekali gus menyebabkan pemandu berhenti di bahu jalan.

Tular di laman media TikTok, rakaman video itu dikongsikan menerusi akaun nazierahrhm1 yang turut berada di laluan tersebut.

Asap tebal yang terhasil menyebabkan laluan trafik perlahan di laluan tersebut namun tiada pemandu lain dilaporkan terlibat dalam kejadian itu.

Komander Operasi Balai Polis Selangor, Shahrul Azlan berkata, kejadian itu melibatkan sebuah kenderaan jenis Proton Gen2 di laluan utama berhampiran MRT Sungai Buloh, Selangor.

"Kereta itu mengalami kebakaran teruk dan rentung dijilat api yang membara ketika itu.

"Namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku dan pemandu berada dalam keadaan selamat selepas terlebih dahulu keluar dari keretanya," katanya kepada Majoriti.

Setakat ini, punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak bomba masih menunggu jawapan dari laporan makmal ujian pihak polis. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram