'Lauk letak sebelah tandas, busuknya dapur restoran berbau lipas'


  • Tular
  • Selasa, 06 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan persekitaran kotor di dapur restoran 24 jam terkemuka di sekitar Kuala Lumpur.

SEBUAH restoran terkemuka di Kuala Lumpur, Selangor dipercayai tidak mengamalkan kebersihan yang sewajarnya apabila persekitaran dapur premis itu berada dalam keadaan kotor dan menggelikan.

Meskipun dikunjungi ramai pelanggan, tahap kebersihan dapur restoran berkenaan langsung tidak menggambarkan suasana di meja makan.

Dikongsikan di laman TikTok, video tular ini menerima lebih 50,000 jumlah tontonan di TikTok dan 218 perkongsian oleh warganet.

Kebersihan restoran itu diragui kerana kedudukannya yang terletak berhadapan tandas dan beberapa hidangan makanan juga turut diletakkan berhampiran kawasan kotor.

Selain itu, periuk yang digunakan juga berada dalam keadaan menjijikkan dan difahamkan persekitaran dapur turut berbau lipas selain bahan makanan yang terdedah kepada kekotoran.

Menjengah ke ruangan komen, kebanyakan netizen seperti sudah lali dengan isu kebersihan di restoran makan 24 jam dan rata-ratanya sudah serik dengan situasi tersebut.

Naardinnns berkata, senario itu merupakan antara punca mengapa dia enggan makan di restoran 24 jam, sebaliknya lebih gemar masak sendiri.

"Antara sebab kenapa aku tak suka makan di restoran 24 jam sebab bukannya tak sedap, tapi sendiri faham la kenapa," katanya.

"Setakat ini saya belum pernah lagi jejakkan kaki ke restoran macam ni, sebab dah tahu kedai dia kotor terutamanya di bahagian dapur," kata arenim.

"Jangan makan di restoran 24 jam ni dan jangan jejak kaki langsung ke dalam kedai macam ni, selesai masalah dan kebersihan pun terjamin," tambah Jeminah.

Setakat ini masih belum ada sebarang siasatan dijalankan pihak penguatkuasa di restoran berkenaan dan difahamkan, premis itu masih dikunjungi ramai pelanggan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram