Mungkin pelik Pahang kibar separuh tiang tapi wajar — Pakar sejarah


  • Primer
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Agong menitahkan bendera Pahang dikibarkan separuh tiang selama tiga hari berturut-turut. — Facebook

KEMANGKATAN Ratu Elizabeth II pada Jumaat mendapat liputan meluas antarabangsa termasuk Malaysia.

Malah, Pahang juga menerusi titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah mengibarkan bendera negeri separuh tiang selama tiga hari berturut-turut.

Pengumuman itu membuatkan ramai tertanya-tanya mengapa perlu dikibarkan bendera separuh tiang sedangkan Ratu Elizabeth II bukan pemimpin negara ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, memang wajar tindakan itu dibuat.

Prof-Dr-Teo-Kok-Seong-1

Kok Seong menyatakan amat wajar untuk Pahang mengibarkan bendera separuh tiang.

"Kita adalah anggota kepada negara Komanwel iaitu negara yang pernah dijajah oleh British.

"Jadi, memang wajar untuk kibarkan bendera separuh tiang sebagai penghormatan kepada ketua negara Komanwel," katanya kepada Majoriti.

Menurut Kok Seong, apa yang berlaku ini mungkin nampak pelik jika tidak tahu tujuan sebenar sedangkan tindakan mengikut protokol biasa.

Ini bukan kali pertama bendera Pahang dikibarkan separuh tiang susulan pemimpin utama meninggal dunia.

Pada Mei lalu, Al-Sultan Abdullah turut menitahkan kibaran bendera Pahang separuh tiang selama lima hari berturut-turut.

Titah itu dibuat sebagai tanda berkabung atas pemergian Allahyarham Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Khalifa bin Zayed Al-Nahyan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram