Tiada tindakan lanjut ke atas MUFC sehingga 20 September — MFL


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Pemain Melaka United FC melaporkan bahawa gaji mereka tertunggak sehingga tiga bulan.

KEPUTUSAN Malaysian Football League (MFL) untuk mengeluarkan notis mengarahkan Melaka United FC (MUFC) menyelesaikan isu tunggakan gaji kelihatan seperti satu tindakan awal yang wajar diambil.

Dalam notis yang dikeluarkan itu, MFL memberi peringatan kepada pihak pengurusan skuad Hang Tuah untuk mendapatkan persetujuan bersama pegawai dan pemain ataupun membayar gaji yaang tertunggak sebelum 20 September.

Notis tersebut turut mengatakan pasukan tersebut berdepan kemungkinan kehilangan slot ke Piala Malaysia 2022 sekiranya segala isu tidak diselesaikan sebelum tarikh itu.

Walau bagaimanapun, kenyataan tersebut tidak melaporkan sekiranya terdapat tindakan lanjut yang bakal dikenakan terhadap pihak pengurusan, seperti penalti pemotongan mata yang dikenakan ke atas Perak FC.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, sebarang tindakan belum dibincangkan jika MUFC gagal menyelesaikan isu gaji sebelum tarikh yang ditetapkan itu.

"Tiada tindakan lanjut diketahui sebelum 20 September itu," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, setakat ini, tindakan yang bakal dikenakan terhadap Melaka United adalah berdasarkan kenyataan yang dibuat dan disiarkan itu.

KUALA LUMPUR, 5 Okt -- Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Stuart Ramalingam (kiri) ketika sidang media mengenai Jawatankuasa Khas Bola Sepak Profesional FAM dan FIB Pelesenan Kelab FAM di Wisma FAM hari ini.--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

"Hal-hal Melaka United adalah berdasarkan notis yang dikeluarkan MFL, itulah keputusan setakat ini. Sama seperti Sarawak juga," jelasnya.

Tambah Stuart, pengumuman lanjut juga bakal dilakukan dalam masa terdekat apabila perbadanan itu sedang sibuk dengan urusan perlawanan akhir Piala FA 2022 pada Sabtu malam.

"Untuk hal-hal lain, saya harap soalan hanya akan diajukan selepas final Piala FA," katanya.

Pada Selasa, satu notis telah dihantar kepada pihak pengurusan MUFC yang mengingatkan mereka untuk menyelesaikan isu gaji para pemain bagi mengelakkan jumlah tunggakan yang terlalu besar.

Selain itu, pihak tersebut juga akan menghubungi Persatuan Pemain-pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) untuk menentukan tindakan susulan serta mencari jalan bantuan kepada para pemain.

Sebelum ini, terdapat juga laporan yang mengatakan masalah tunggakan gaji sudah berlanjutan sejak tiga bulan lalu selain masih mempunyai pemain yang tidak menerima baki bayaran untuk Januari.

Masalah ini merupakan isu yang berulang dalam Liga Malaysia dengan pemain Sarawak United FC juga melaporkan bahawa mereka tidak menerima gaji buat beberapa bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram