Pengadil final Piala FA kena bantah, profil digodam jadi 2 'kerakyatan'


  • Podium
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Nazmi (tengah) bersama barisan pengadil lain dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan final Piala FA pada Sabtu. — Facebook/ MFL

PENANTIAN mengenai status pengadil bagi pentas akhir Piala FA 2022 antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) akhirnya terjawab apabila Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan barisan pengadil yang bakal menggalas tanggungjawab berat tersebut.

Bagaimanapun, sosok salah seorang daripada enam orang pengadil terlibat, Muhammad Nazmi Nasaruddin menarik perhatian penyokong TFC.

Rata-rata penyokong Sang Penyu meramalkan perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Sabtu nanti bakal menyaksikan ketidakseimbangan dalam sistem pengadilan ekoran kehadiran Nazmi.

Hawk Mokiter Kasut Bundle menerusi laman Facebook Terengganu FC meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap pemilihan pengadil yang disifatkan sebagai merugikan pihak TFC.

"Nazmi Nasaruddin akan menjadi pengadil untuk perlawanan pada final nanti. Ikut pengalaman lepas, kalau dia ni pengadil, habis Terengganu. Harap-harap janganlah dia buat perangai," katanya.

Mohd Tarmizi Bin Mahmud menyindir: "Nampak sangat dah siapa yang akan menang."

Tangkap layar laman wikipedia Nazmi pada sekitar jam 5 petang.

Tangkap layar laman wikipedia Nazmi beberapa minit kemudian.

"Balik awal lah nampaknya. Banyak berat sebelah pengadil ni. Tengok esok (perlawanan Sabtu), kalau buat hal, kita pakat lempar keropok lekor atas kepala dia," kata Ahmad Faiz.

Zainuddin Mohammad menambah: "Kalau pasti sudah (dia ini pengadil), minta pihak TFC buat bantahan."

Tinjauan Majoriti mendapat laman Wikipedia tentang prodil pengadil berusia 32 tahun digodam pihak tidak bertanggungjawab apabila untuk seketika dia dikatakan sebagai anak jati Felda Taib Andak, Kulai Johor.

Tidak lama kemudian, profilnya berubah dan dia menjadi anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu.

Untuk rekod, Nazmi pernah ditugaskan untuk mengendalikan perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara JDT dan Kedah yang menyaksikan kemenangan 3-0 berpihak kepada pasukan Harimau Selatan.

Bukan itu sahaja, beliau turut terlibat dalam mengendalikan perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2019 antara JDT dan Selangor yang turut menyaksikan kemenangan 3-0 menjadi milik JDT.

Pada tahun itu, platform wikipedia Nazmi digodam lebih 10 kali dalam tempoh 30 minit yang mana profil pengadil itu diubah termasuklah informasi tidak masuk akal seperti dia pernah melayangkan kad merah kepada legenda bola sepak Perancis, Zidane Zidane.

Baru-baru ini, isu pengadil berat sebelah hangat diperkatakan selepas perlawanan Liga Super Sabtu lalu di antara Selangor dan JDT yang menyaksikan pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria memberikan sepakan penalti kepada JDT.

Keputusan pengadil itu mendapat kritikan Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon serta media antarabangsa, BBC Sports, namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap mengatakan keputusan Zulkarnain adalah tepat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram