Remaja perempuan ditemui lemas di Pantai Tanjung Balau


  • 112
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Seorang remaja ditemui lemas selepas mandi bersama rakan di Kota Tinggi.

REMAJA perempuan berusia 13 tahun yang hilang ketika mandi bersama rakannya di Pantai Tanjung Balau, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor ditemukan lemas pukul 2.37 petang pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, mayat Nurish Qhalisya Suhailizam ditemukan pasukan penyelamat pada jarak kira-kira 50 meter dari lokasi dilaporkan lemas.

"Mayat mangsa dipercayai tersangkut di celah batuan dan untuk makluman, lokasi kejadian ini terdapat kawasan berbatu.

"Mangsa telah dicamkan oleh ahli keluarga dan kini dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) bagi proses bedah siasat dan operasi mencari serta menyelamat sudah dihentikan," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa dan lima yang lain datang ke pantai berkenaan untuk beriadah dan mandi-manda di kawasan berhampiran.

Hussin berkata kesemua remaja yang terlibat dalam insiden tersebut telah mendapat keizinan daripada ahli keluarga dan ketika kejadian, cuaca mendung dan air tenang, namun dipercayai sedang mulai surut.

Beliau berkata dalam kejadian tersebut, Nurish Qhalisya disahkan lemas, manakala dua beradik, Mohd Asyraf Syazwan Mohd Fairuz, 7, dan Nur Azrin Syazwani, 13, dilaporkan kritikal dan kini di bawah pemantauan di Unit Rawatan Rapi (ICU), HKT.

Sementara itu, Siti Alesya Qistina Mustafa, Siti Nur Alysya Abdullah dan Nur Zurin Hafeeza Mohd Azhari masing-masing berusia 13 tahun dilaporkan selamat.

Hussin dalam masa sama menasihatkan orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi khususnya kawasan pantai, supaya berhati-hati dan menjaga keselamatan ahli keluarga agar musibah seperti ini tidak berulang. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram