'Dia ketuk pintu berulang kali' — Gadis trauma, nasihat warga Temerloh awasi kelibat individu pelik


  • Tular
  • Selasa, 06 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki dipercayai sering membuat gangguan di sekitar Bandar Temerloh.

TINDAKAN seorang lelaki yang mengetuk serta membuka pintu kereta sesuka hati jelas mengundang trauma seorang wanita dan rakan-rakannya apabila diganggu tanpa henti di Temerloh, Pahang baru-baru ini.

Didatangi seorang lelaki yang tidak dikenali, suspek dipercayai sudah lama mensasarkan kereta berkenaan apabila dikatakan memerhatikan mangsa dari jarak jauh.

Kejadian yang berlaku di ruang parkir Uptown Bandar Temerloh itu dikongsikan menerusi rakaman video tular di TikTok.

Mangsa yang dikenali sebagai Hafira Azrina, 24, dia dan seorang lagi rakannya singgah di sebuah kedai untuk membeli barang, namun mereka didatangi individu tersebut secara tiba-tiba dan diganggu beberapa kali.

"Ketika itu, kami berdua baru pulang daripada kerja dan singgah di sebuah kedai untuk beli barang, namun lain pula yang terjadi.

"Dia beberapa kali cuba membuka pintu kereta dan tekupkan muka di tingkap kereta, saya sangat takut dan cemas ketika itu.

"Saya tengok dia macam ingin minta sesuatu tapi saya tak pasti apa yang dikatakan kerana tak berani untuk membuka tingkap," katanya kepada Majoriti.

Enggan berganjak daripada kereta, mangsa kemudiannya mula berasa cemas dan buntu untuk menghalau lelaki berkenaan.

"Kami melambai dan menjerit di tingkap sebelah untuk meminta bantuan orang awam kerana terlampau takut.

"Nasib baik ramai yang membantu dan sebaik sahaja orang awam mula datang ke arah kami, barulah lelaki itu beredar dan berhenti mengganggu," ceritanya lagi.

Menjengah ke ruangan komen, netizen turut berkongsi pengalaman yang sama apabila turut diganggu lelaki berkenaan.

Nurulsyhrrh berkata, dirinya juga pernah menjadi mangsa gangguan individu pelik itu ketika sedang bekerja.

"Dulu sewaktu bekerja, lelaki itu selalu datang mengamuk dan menjerit, beli kad tambah nilai lepas tu kata tak masuk sehingga dia menjerit dan meroyan tanpa henti," katanya.

"Seramnya, saya tak boleh bayang kalau situasi macam tu terjadi pada diri sendiri lagi-lagi kalau berseorangan," kata Amanda_shoppButik.

Turut berpesan kepada orang ramai, Hafira turut berkata, orang ramai di sekitar Bandar Temerloh perlu berhati-hati dengan gangguan lelaki itu kerana dia sering berlegar di kawasan sekitar.

"Sekiranya berseorangan, sebaiknya kunci pintu kereta dan letakkan kereta di ruangan parkir bercahaya sebagai langkah berjaga-jaga," jelasnya.

Suspek dipercayai masih bebas dan belum ada sebarang kenyataan rasmi pihak berkuasa berhubung tangkapan suspek setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram