'Ini baru pahlawan,' lelaki pecahkan cermin kereta parkir luar petak


  • Tular
  • Jumaat, 26 Ogos 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki bertindak ganas memecahkan cermin tingkap kereta.

TINDAKAN seorang pemandu meletakkan kenderaan di luar petak parkir mengundang kemarahan seorang lelaki yang bertindak luar batasan dengan memecahkan cermin dan mematahkan pengelap cermin kenderaan tersebut.

Kejadian yang berlaku di dekat sebuah flat di Bandar Baru Sentul itu tular di laman media Tiktok baru-baru ini apabila seorang daripada penduduk sempat mengambil rakaman video kejadian.

Menerusi rakaman tersebut, lelaki itu dipercayai berasa marah terhadap perbuatan pemilik kenderaan jenis Proton Persona itu kerana meletakkan kereta melebihi ruangan parkir yang sepatutnya.

Menerima lebih 50,000 jumlah tontonan di TikTok, rata-rata netizen memberikan sokongan penuh terhadap tindakan lelaki itu kerana isu parkir seperti itu sememangnya sukar untuk diterima.

Rahimkoeng: "Ada baiknya juga dia buat macam tu,kalau tak orang parking kereta ikut sesuka hati je."

Pali_palie: "Pahlawan macam ni yang kita nak, sebab yang lain hanya tahu sembang je tapi tak ambil tindakan.. kasi ajar sikit."

Yus: "Pengajaran juga bagi yang parking jenis macam ni, semoga tuan kereta tu mengaku kesilapan dia sendiri."

Tiada kenyataan dikeluarkan pihak berkuasa berhubung kejadian itu dan penduduk di situ rata-ratanya berharap agar perkara itu dapat diselesaikan dengan baik oleh kedua-dua belah pihak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram