'Siapa berani kacau, aku pancung kepala,' jiran kaki mabuk ugut penduduk Padang Serai


  • Tular
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang lelaki mengamuk dan membaling kerusi kepada orang ramai sebaik dirinya ditegur.

KERAP menimbulkan kekecohan di kawasan kejiranan, lelaki ini dikatakan sering membuat kacau dan mengganggu ketenteraman awam apabila memasang lagu dengan kuat dan mengancam keselamatan penduduk di sekitar kawasan itu.

Situasi itu yang berlaku di sekitar Taman Mahsuri, Padang Serai di Kulim, Kedah mengundang bahaya kepada penduduk kerana mereka diancam bunuh oleh lelaki berkenaan.

Video insiden ganas terbabit kini tular di Facebook.

Menurut rakaman video, lelaki itu bertindak mencabar orang ramai selain turut berkata tindakan keras akan diambil sekiranya ada yang berani mengganggunya.

"Suka hati saya la nak dengar lagu kenapa awak nak sibuk, nak saya pecahkan pintu rumah kamu.

"Kalau nak beritahu polis, saya tak takut!" katanya.

Difahamkan, selain membuat bising, lelaki itu turut mewujudkan ruang umpama sebuah pub mini di hadapan rumah dan sering mengajak rakan-rakannya datang minum arak bersamanya.

Saksi mendakwa, hari demi hari perangai lelaki itu bersama rakannya semakin teruk dan langsung enggan berundur apabila ditegur.

"Minggu ini perangai dia semakin teruk, dia letak pembesar suara di belakang rumah, meja dan sofa di tengah jalan.

"Bagai buka pub mini dan sering meminum arak bersama rakan-rakannya, bila ditegur kami ditengking," kata saksi.

Setakat ini masih tiada sebarang laporan pihak polis berkenaan isu tersebut dibuat dan penduduk difahamkan sedang dalam proses untuk mengambil tindakan undang-undang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Jiran Mabuk, Ugut Bunuh, Samseng