Lee Tuck hanya satu pilihan, KPG ada jawapannya


  • Podium
  • Isnin, 05 Sep 2022

Lee Tuck berjaya memperolehi kewarganegaraan yang membuka peluangnya untuk bermain dalam skuad kebangsaan. — Instagram/lee_tuck

MENGHADAPI saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 dan Piala Asia 2023, Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan-gon (KPG) pasti mahu anak-anak buahnya berada dalam keadaan fizikal yang terbaik.

Proses pemilihan pasti dilakukan dengan teliti oleh pengendali kelahiran Korea Selatan ini kerana mahu melihat kemampuan Harimau Malaya bersaing bersama pasukan-pasukan lebih mencabar.

Selain memanggil pemain tempatan, KPG juga pasti akan menggunakan peluang pemilihan ini untuk mendapatkan keserasaian bersama pemain naturalisasi yang mampu menambah dimensi baharu ke dalam pasukan ini.

Antara pemain yang sering diberikan peluang bersama skuad kebangsaan merupakan pemain pertahanan Johor Darul Takzim (JDT), Corbin Ong dan kapten pasukan, Brendan Gan.

Namun, pasukan ini seakan mendapat suntikan baharu apabila mereka berjaya mendapat pemain berdarah kacukan selepas pemain Sri Pahang FC, Lee Tuck memperoleh status naturalisasi, sekali gus membuka peluang untuknya dipilih membarisi skuad kebangsaan.

Meskipun hanya meluangkan lima tahun kariernya dalam Liga Malaysia, kehadiran Lee Tuck semasa bermain di Terengganu FC menaikkan namanya menerusi persembahan yang konsisten.

Sering diturunkan sebagai pemain tengah menyerang, kemasukan pemain ini ke dalam skuad kebangsaan mampu menambah dimensi serangan untuk merobek gawang lawan dengan lebih kerap pada saingan kali ini.

Namun, bagi pemerhati bola sepak tempatan, Dr Pekan Ramli, beliau tidak melihat pemain kelahiran England ini bakal diserap dengan segera ke dalam skuad KPG.

1801623

Keputusan hanya boleh dibuat KPG mengenai kemasukan Lee Tuck ke dalam skuad kebangsaan. Sinar Harian

"Ketika ini, saya dapat lihat dia cu satu pilihan sahaja tetapi bukanlah satu perkara yang perlu diberi perhatian sangat oleh orang ramai," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, kehadiran Lee Tuck ke pasukan Harimau Malaya hanya boleh dijawab pengendali itu dengan menilai kemampuan dan pendekatan taktikal yang digunakannya.

"Segala-galanya bergantung kepada kehendak ketua jurulatih itu, tetapi sekiranya dia merasakan Lee Tuck sesuai untuk berada dalam kesebelasan utama, mengapa tidak?

"Saya pun sudah tidak lihat akan ada timbul isu lain sekiranya dia sudah mendapat status naturalisasi, dia wajib dibawa masuk ke dalam skuad kebangsaan, tidak kerana yang penting adalah apa kehendak KPG itu sendiri," katanya.

Pasukan kendalian KPG selepas ini bakal bersaing dalam Piala Raja Thailand yang akan diadakan pada penghujung September dan peluang itu tentunya akan menjadi medan latihan sebelum menghadapi saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram