"JANGAN bimbang saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan ALLAH. Demikian hantaran balas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin selepas gambarnya terlantar di atas katil di sebuah hospital tular di media sosial.
Beliau mengesahkan dirinya dalam keadaan sihat dan masih berada di Kuala Lumpur selepas menghadiri prosiding mahkamah pada Jumaat lalu.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik menerusi laman Facebook miliknya, Bung Moktar memaklumkan bahawa beliau sihat seperti biasa.
"Kepada semua rakan-rakan dan juga musuh-musuh politik, jangan bimbang saya kekal di posisi yang tenang dan masih sihat dalam perlindungan ALLAH.
"Saya akan turun ke Kota Belud pada Sabtu (10 September 2022), untuk melancarkan program Gelombang Biru dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya Kota Belud dan Tuaran," tulisnya pada malam Ahad.
Sementara itu, Setiausaha Akhbarnya, Jaafar Abdul Wahid berkata, beliau dihubungi melalui panggilan telefon serta mesej menerusi aplikasi WhatsApp sejak petang Ahad daripada beberapa rakan dan pemimpin yang bertanyakan khabar Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu.
Ia berikutan tular gambar Bung Moktar terbaring dipercayai sakit dan sedang menerima rawatan. Gambar itu serta diziarahi oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin.
"Gambar itu adalah gambar lama sekitar tahun 2015 atau 2016 ketika Bung Moktar balik dari menjalani rawatan buah pinggang di China yang sengaja disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk menjejaskan reputasi beliau dalam kerjaya politiknya, " jelasnya.
Sehubungan itu, Jaafar meminta orang ramai agar tidak percaya terhadap berita palsu yang ditularkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab itu.
"Malah beliau (Bung Moktar) telah mengesahkan sendiri menerusi akaun media sosialnya yang dia kini dalam keadaan sihat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram