Ditemani Rosmah, Najib hadir ke mahkamah sehari lepas masuk hospital


Kenderaan membawa Najib tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Isnin, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapinya. — Bernama

DATUK Seri Najib Razak hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur walaupun bekas Perdana Menteri itu sebelum ini dilapor dimasukkan ke hospital bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

Ahli Parlimen Pekan itu yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang tiba kira-kira pukul 8.50 pagi di Mahkamah Tinggi bagi perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, 69, dilihat memakai sut berwarna gelap dan diiringi pegawai penjara bagi menghadiri prosiding di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Turut kelihatan hadir, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor.

81662349416_freesize

Rosmah hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur bagi mengikuti sambungan perbicaraan berhubung kes 1MDB yang dihadapi Najib. — Bernama

Pada Ahad, media melaporkan, pegawai Najib mengesahkan beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru-baru ini.

Bagaimanapun, keadaan Najib dilapor stabil dan sedang melalui kesemua siasatan perubatan yang diperlukan.

Najib menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama. — Astro Awani

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram