Majikan antara 2 ditahan kes mati tukang kebun di Baling


  • 112
  • Isnin, 29 Ogos 2022

Polis menahan majikan dan rakan sekerja si mati, manakala seorang lagi masih dikesan.

POLIS menahan dua lelaki bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang tukang kebun warga Myanmar di kebun betik di Kampung Dalam Wang, dekat Baling, Kedah pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Baling, Superitendan Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung penemuan mayat seorang lelaki berusia 30-an dalam keadaan terbaring di kebun berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Polis telah menjalankan dua serbuan dan berjaya menahan seorang lelaki tempatan berumur 52 tahun yang merupakan majikan kepada si mati di kawasan kebun betik berkenaan, manakala rakan sekerja si mati yang juga warga Myanmar berumur 33 tahun pula ditahan di Kupang.

"Hasil siasatan mendapati, lelaki tempatan itu tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan ujian air kencing adalah negatif sementara lelaki warga Myanmar itu pula tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Shamsudin berkata, polis sedang mengesan seorang lagi lelaki warga Myanmar yang merupakan kawan sekerja kepada si mati.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk bedah siasat dan mendapati, terdapat kecederaan yang dalam di bahagian dahi kiri mangsa yang dipercayai akibat benda tajam.

"Terdapat kesan lebam juga di bahagian belakang badan mangsa. Kedua-dua suspek telah ditahan reman sehingga 4 September depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, Baling, Shamsudin Mamat, kebun, Myanmar