SUSPEK yang memuat naik komen berunsur ugutan terhadap Ketua Hakim Negara ditahan di sebuah rumah di Puchong, Selangor sekitar pukul 11.15 malam pada Jumaat.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sekeping kad sim dan telefon bimbit dipercayai digunakan oleh suspek untuk memuat naik hantaran berkenaan.
Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, lelaki berusia 30 tahun itu akan direman selama empat hari.
"PDRM menerima laporan mengenai ancaman dan ugutan di media sosial terhadap Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat oleh pemilik akaun Facebook bernama Apiez Bond.
Tangkap layar memaparkan komen dibuat suspek tular selepas dikongsikan menerusi aplikasi WhatsApp.
"Hasil laporan tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas seorang lelaki berusia 30 tahun di sebuah rumah di Puchong, Selangor.
"Suspek direman empat hari bermula 20 hingga 23 Ogos untuk siasatan lanjut.
"Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mengeluarkan kenyataan berkencederungan menghasut, Seksyen 506 Kanun Keseksaan (menakutkan secara jenayah) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya menerusi sebuah kenyataan.
Terdahulu, komen yang dimuat naik di sebuah halaman Facebook itu tular selepas tangkap layar memaparkan kenyataan berunsur ugutan bunuh itu dikongsikan semula menerusi aplikasi media sosial WhatsApp.
PDRM memandang serius kenyataan dibuat suspek terbabit dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan media sosial. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram