Enggan putuskan hubungan, lelaki ugut teman wanita di Ampang


  • 112
  • Khamis, 25 Ogos 2022

Seorang lelaki mengeluarkan kata ugutan bunuh kepada teman wanitanya kerana tidak mahu meneruskan hubungan mereka. — Gambar hiasan/Agensi

SEORANG mekanik ditahan pada Ahad selepas mengugut bekas teman wanitanya kerana enggan meneruskan hubungan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, dalam kejadian pukul 12 tengah hari itu, mangsa berusia 17 tahun pergi ke rumah bekas teman lelakinya untuk menuntut ganti rugi perbelanjaan RM700 ketika menjadi pasangan kekasih.

"Bagaimanapun, suspek berusia 19 tahun itu bertindak kasar dengan menolak mangsa serta mengacu dua jenis pisau berlainan sebanyak dua kali.

"Suspek turut mengeluarkan kata ugutan bunuh kerana mangsa tidak mahu meneruskan hubungan dengan suspek," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, suspek turut merampas telefon bimbit mangsa serta menghempaskan ke lantai sehingga menyebabkan kerosakan.

"Kita telah menahan suspek pada pukul 7.20 petang Selasa dan merampas sebatang cota, dua bilah pisau dan sebuah telefon bimbit yang digunakan semasa kejadian.

"Suspek akan direman hari ini (Rabu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kes berasingan, seorang buruh ditahan kerana memeras wang daripada seorang pekedai.

Mohamad Farouk berkata, dalam kejadian pukul 6 petang Ahad ITU, seorang lelaki berusia 64 tahun berada di premisnya di Medan Selera Pandan Perdana di Jalan Perdana 9/10 dekat Ampang, Selangor apabila dia didatangi suspek.

"Suspek mengugut untuk merosakkan kedai sekiranya lelaki itu tidak membayar wang perlindungan RM100 kepadanya.

"Dia turut menendang beberapa barangan di kedai itu dan mengugut untuk membelasah mangsa," katanya.

Siasatan mendapati, suspek mula menuntut wang perlindungan pada 13 Ogos.

"Berdasarkan maklumat yang diterima, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh di Pandan Perdana kira-kira pukul 12 pagi pada 23 Ogos, selain merampas telefon bimbit.

"Hasil pemeriksaan mendapati, lelaki itu mempunyai rekod jenayah dadah dan kesalahan lain," katanya sambil menambah suspek telah direman selama empat hari.

Katanya, itu diklasifikasikan sebagai pemerasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram