LELAKI yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan luka pada bahagian leher di sebuah rumah di Kampung Merua Batu 3, Jalan Haji Wahab di Parit, Perak pada Isnin disahkan maut akibat serangan haiwan.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, pemeriksaan luaran menemukan beberapa helai bulu di sekeliling luka di bahagian muka kiri dan leher mangsa, Norzi Jaafar, 58.
"Pemeriksaan dalaman menunjukkan dua saluran jantung mangsa tersumbat selain dijangkiti Covid-19.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kehilangan darah yang serius disebabkan serangan haiwan, jangkitan Covid-19 dan saluran darah tersumbat," katanya.
Menurut Azizi, luka pada mangsa berpadanan dengan haiwan seperti anjing atau seumpamanya.
Jelasnya, kes pada awalnya disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan telah diklasifikasikan semula sebagai mati mengejut.
Pada Isnin dilaporkan mangsa dijumpai oleh seorang penduduk kampung sekitar jam 10.30 pagi selepas melihat lelaki tersebut tidak sedarkan diri di luar pintu rumah dengan darah di sekeliling badan dan pintu serta lampu terbuka.
Mangsa berkemungkinan meninggal dunia lebih dari 15 jam ketika ditemui berdasarkan keadaan tompokan darah yang telah beku dan bertukar warna. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram