Mahkamah tunggu laporan bedah siasat, psikiatri suspek bunuh isteri, bayi lelaki


Tertuduh didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu pada Julai lalu. — Sinar Harian

MAHKAMAH Majistret Johor Bahru, Johor pada Khamis menetapkan kes pencuci kapal yang didakwa membunuh isteri dan bayi lelakinya di Kampung Bakar Batu pada Julai lalu disebut semula pada 19 September ini.

Kes tersebut ditangguh oleh Majistret Mohd Zulhilmi Ibrahim pada tarikh berkenaan selepas Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Arif Marzuki memohon dan memaklumkan bahawa pihaknya memerlukan masa kira-kira sebulan lagi untuk memperoleh laporan diperlukan.

Muhammad Arif memberitahu mahkamah, pihaknya masih belum memperoleh laporan kimia, laporan bedah siasat dan laporan psikiatri tertuduh, Mohamad Amir Nazri Mohd Adam, 24.

"Hari ini (Khamis) ditetapkan untuk status laporan kimia, bedah siasat dan psikiatri, namun laporan-laporan belum diperoleh. Saya mohon tarikh untuk sebutan semula dalam sebulan," katanya.

Menerusi prosiding itu, tertuduh tidak hadir ke mahkamah, namun dia diwakili peguam Munirah Najihah Shaari yang memberitahu mahkamah bahawa beliau baharu dilantik pihak tertuduh.

Difahamkan, Mohamad Amir Nazri tidak hadir ke mahkamah pada Khamis yang ditetapkan untuk sebutan semula kesnya kerana masih dirujuk di Hospital Permai bagi rawatan psikiatri.

Turut kelihatan di luar bilik mahkamah adalah keluarga tertuduh dan mangsa.

Pada 18 Julai lalu, Mohamad Amir Nazri dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru atas dua pertuduhan membunuh isterinya, Hajar Nursyahirin Rosman, 26, dan bayi lelakinya, Hans Mohamad Thaqeef yang berusia dua bulan lapan hari.

Bagi perbuatan yang didakwa dilakukan di rumah keluarganya dekat Jalan Dewasa, Kampung Bakar Batu, Johor Bahru pada pukul 11.30 pagi dan 11.40 pagi, 4 Julai lalu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Media sebelum ini melaporkan insiden tersebut apabila seorang lelaki bertindak mengelar leher isteri dan bayinya sebelum melarikan diri.

Turut tular beberapa video dan gambar memaparkan lelaki berkenaan menunggang motosikal dalam keadaan bogel sejurus selepas insiden itu berlaku. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram