Pasangan jururawat bantu wanita hamil 6 bulan bersalin dalam pesawat


  • Benua
  • Sabtu, 13 Ogos 2022

Sheryl dan Ruel Pascua membantu melahirkan bayi pramatang dalam penerbangan dari London ke Manila. — Agensi

SEORANG wanita melahirkan bayi pramatang di ketinggian 35,000 kaki (10,668 meter) di udara apabila bersalin dalam penerbangan dari London, England ke Manila, Filipina.

Bayi tersebut disambut oleh sepasang suami isteri, Sheryl dan Ruel Pascua yang segera bertindak apabila mendengar panggilan kecemasan perubatan daripada kru penerbangan.

Kehadiran pasangan tersebut yang kebetulan bekerja sebagai jururawat di NG Healthcare di Trentham menjadikan proses kelahiran kandungan berusia enam bulan itu berjalan lancar.

"Ketika saya menjalankan pemeriksaan ke atas wanita tersebut. Saya terkejut dan teruja apabila mendapati si ibu sudah hampir bersalin.

"Saya meminta Ruel untuk membantu membimbing wanita itu meneran namun tidak lama kemudian, seorang bayi lelaki dilahirkan.

"Ruel menyambut bayi tersebut sementara saya memberi tumpuan kepada ibu. Saya agak cemas kerana keadaan di dalam pesawat tidak seperti di dalam hospital.

"Bayi berusia 24 minggu tersebut sangat kecil dan sebesar tapak tangan suami saya. Pengalaman ini sangat berbeza berbanding pengalaman lain sepanjang kami bergelar jururawat," katanya.

Sebaik sahaja penerbangan mendarat, ibu dan bayi itu segera dikejarkan ke unit rawatan rapi neonatal di hospital tempatan.

Sehingga kini, Sheryl masih lagi berhubung dengan ibu bayi tersebut.

"Saya juga ingin berterima kasih kepada kru penerbangan yang sentiasa peka dengan keperluan penumpang mereka dan memudahkan urusan kami membantu wanita tersebut.

"Proses menyambut kelahiran tersebut boleh dikatakan hasil kerjasama sepasukan," katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram