PENDUDUK di daerah Tanjung Karang Timur, Bandarlampung, Indonesia dikejutkan dengan penemuan seorang bayi perempuan yang dibuang ke dalam tong sampah dalam kejadian pada Jumaat.
Bayi yang masih hidup itu ditemukan kira-kira pukul 7 pagi di Jalan Kemboja, RT 7, Kampung Kebon Jeruk, Tanjung Karang Timur.
Bagaimanapun, bayi malang itu meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.
Ketua Rukun Tetangga, Efendi berkata, bayi tersebut ditemui seorang murid sekolah rendah ketika dia dalam perjalanan ke sekolah.
"Bayi itu menangis semasa dijumpai. Tubuhnya dibalut dengan kain berwarna merah dan diletakkan di dalam sebuah beg.
“Penemuan ini menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk setempat,” katanya seperti dipetik Lampung IdNews pada Sabtu.
Ketua Polis Tanjung Karang Timur Pesuruhjaya, Doni Aryanto mengesahkan penemuan bayi di dalam tong sampah itu.
"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan merakam keterangan saksi,” katanya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram