Letak vape pada mulut bayi, suspek kena reman sehingga Sabtu


  • 112
  • Selasa, 09 Ogos 2022

Tangkap layar aksi lelaki itu memberi pod vape pada mulut seorang bayi yang tular di laman Twitter sebelum ini. — Twitter

SEORANG lelaki yang dipercayai meletakkan vape pada mulut seorang bayi berusia tujuh bulan dalam kejadian di sebuah restoran di Bandar Baru Uda, di Johor Bahru, Johor baru-baru ini, direman selama lima hari, bermula Selasa.

Tempoh reman sehingga 13 Ogos terhadap peniaga berusia 23 tahun itu dikeluarkan Majistret R. Salini, di Johor Bahru pada Selasa.

Perintah reman terhadap lelaki itu dikeluarkan bagi membolehkan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pada Isnin, polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menahan lelaki terbabit di Jalan Putih, di Johor Bahru, pada pukul 12.45 tengah hari.

Ketua Polis Daerah JBU, Asisten Komisioner Rupiah Abd Wahid berkata, tangkapan dibuat susulan laporan polis yang dibuat ibu kepada bayi perempuan itu pada 6 Ogos lepas.

Beliau berkata, wanita berusia 29 tahun itu mengatakan bahawa lelaki terbabit adalah kenalan adik perempuannya dan kejadian berlaku ketika dia bersama bayinya, adik perempuan serta lelaki terbabit berada di sebuah restoran.

Terdahulu, tular video berdurasi 17 saat yang memaparkan seorang lelaki meletakkan vape pada mulut bayi yang sedang dipangkunya itu di media sosial. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram