Kes banduan mati di Kluang, ahli keluarga dan staf penjara antara disiasat


  • 112
  • Selasa, 26 Jul 2022

Kamarul Zaman berkata, setakat ini laporan bedah siasat masih belum diterima daripada pihak Hospital Sultanah Aminah, Johor. — Bernama

DUA belas individu diambil keterangan bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang banduan lelaki di penjara Kluang, Johor pada 28 Jun lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, individu itu terdiri daripada tiga ahli keluarga, lima banduan di dalam sel yang sama serta empat kakitangan penjara.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini laporan bedah siasat masih belum diterima daripada pihak Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor.

"Kami tidak dapat jangka berapa lama (laporan bedah siasat diterima), namun pegawai penyiasat sentiasa berhubung dengan pihak hospital,” katanya pada sidang media pada Selasa.

Beliau berkata, mayat lelaki itu diserahkan kepada keluarga pada 29 Jun lepas.

Kamarul Zaman berkata, individu yang dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun itu, dikejarkan ke sebuah hospital di Kluang pukul 7.30 pagi selepas ditemui pengsan sebelum disahkan meninggal dunia.

Pada Isnin, Kamarul Zaman dilaporkan berkata, polis Johor memberi jaminan siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan berhubung kematian seorang banduan, Kim Shih Keat, 36, seorang pemilik kedai kopi.

Kamarul Zaman dipetik sebagai berkata, hasil siasatan kes itu adalah berdasarkan laporan bedah siasat dan patologi, yang menjurus kepada sebab kematian individu berkenaan.

Dalam satu sidang media pada Ahad, ahli keluarga kepada Shih Keat memohon agar laporan bedah siasat dan kimia berhubung kematian lelaki berkenaan, dapat didedahkan selewat-lewatnya Jumaat.

Shih Keat dijadualkan bebas daripada penjara pada 28 Jun selepas menjalani hukuman penjara selama tujuh hari dan denda RM15,000 kerana didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk oleh Mahkamah Sesyen, Johor Bahru, Johor pada 22 Jun lepas.

Bagaimanapun, keluarga lelaki berkenaan yang dalam perjalanan untuk mengambil Shih Keat, mendakwa mendapat panggilan pada waktu pagi, hari yang sama daripada pengurus rumah mayat yang memaklumkan Shih Keat sudah pun meninggal dunia. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram