Takut dimarah ibu, kanak-kanak 7 tahun fitnah lelaki mabuk bunuh adik


  • Benua
  • Sabtu, 30 Jul 2022

Tae ditahan polis bagi membantu siasatan selepas abang mangsa yang berusia tujuh tahun dan rakannya memberitahu polis bahawa lelaki itu mencekik adiknya. — Agensi

SEORANG lelaki disoal siasat oleh pihak polis selepas dia didakwa membunuh seorang kanak-kanak lelaki dengan melemaskan mangsa di dalam sungai.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Tae ditahan polis bagi membantu siasatan selepas abang mangsa yang berusia tujuh tahun dan rakannya memberitahu polis bahawa lelaki itu mencekik adiknya dan melemaskannya di dalam sungai sehingga mati.

Polis yang memetik keterangan abang mangsa, suspek yang ketika itu dalam keadaan mabuk datang ke arah mereka yang sedang memancing di tasik berhampiran rumah.

"Abang mangsa menceritakan bagaimana Tae mencekik adiknya dan melemaskan kanak-kanak itu di dalam sungai sehingga mati sebelum membiarkan mayat adiknya dan berlalu pergi.

"Abang mangsa turut memberitahu, Tae berpesan kepada mereka supaya tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa dan memukul kepala dia serta rakannya.

"Disebabkan cerita itu, kami menahan Tae untuk membantu siasatan dan lelaki tersebut menafikan dia terlibat dalam kes berkenaan, selain memberitahu dia tidak pulang ke rumah ketika kejadian berlaku," kata polis daerah Mueang Lopburi, Thailand.

Polis juga menyoal siasat beberapa penduduk lain mengenai Tae dan kebanyakan mereka menafikan lelaki itu membunuh kanak-kanak berkenaan, selain menceritakan dia hanya mengalami ketagihan alkohol.

Beberapa jam kemudian, abang mangsa menghubungi polis sekali lagi dan mengakui bahawa dia berbohong mengenai penglibatan Tae serta memberitahu, dia mereka cerita kerana takut dimarahi ibu bapanya berhubung adiknya mati lemas.

"Abang mangsa mengakui dia sebenarnya mereka-reka cerita kerana takut dimarahi ibu bapanya kerana tidak menjaga adiknya sehingga lemas.

"Namun, dia belum menceritakan bagaimana adiknya boleh lemas di dalam tasik tersebut dan Tae juga sudah dibebaskan,” menurut polis. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram