POLIS sedang mengesan seorang pelancong di sekitar pusat peranginan, dekat Pulau Langkawi, Kedah yang melakukan perbuatan tidak senonoh dalam keadaan mabuk, selepas imej dan video kejadian tular di media sosial baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, video itu menunjukkan lelaki tersebut duduk di atas bumbung sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sedang meminum minuman beralkohol.
"Laporan polis telah dibuat dan siasatan akan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 (semakan 1987) kerana mabuk dan melakukan perbuatan tidak senonoh di khalayak ramai," katanya dalan satu kenyataan pada Khamis.
Shariman berkata, siasatan awal mendapati, lelaki itu dan rakannya adalah pelancong tempatan dan telah meninggalkan pulau tersebut.
Beberapa gambar dan video aksi lelaki itu di atas bumbung MPV menjadi tular, manakala orang ramai mengecam perbuatan lelaki itu dan rakan-rakannya sebagai tidak bertanggungjawab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram