Belum cukup pro, 5 wanita 'kantoi' tak perasan CCTV, selamba mencuri di pasar raya di Kuching


  • Tular
  • Rabu, 27 Jul 2022

Tangkap layar menunjukkaan sekumpulan wanita mencuri di sebuah pasar raya.

SATU video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang memaparkan sekumpulan wanita mencuri di sebuah pasar raya di Kuching, Sarawak tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 3 minit 10 saat yang dimuat naik di halaman Facebook D Valley supermarket menunjukkan lima wanita bertudung mencuri beberapa barangan seperti tin susu bayi, coklat dan beberapa produk lain.

Dalam video tersebut kelihatan seorang wanita yang berbaju putih mengambil beberapa tin susu daripada rak pasar raya berkenaan, manakala rakannya yang berbaju kelabu mengawasi keadaan sekeliling.

Setelah meletakkan tin susu tersebut ke dalam troli pasar raya, salah seorang daripada mereka kemudiannya dilihat memasukkan barang terbabit ke dalam dalam beg tangan.

Hasil pemerhatian Majoriti, terdapat lima individu terlibat dalam kegiatan mencuri tersebut.

Bukan itu sahaja, pekerja pasar raya tersebut juga kelihatan tidak menyedari keadaan itu berikutan pandangannya dihalang susunan kotak yang terletak di tengah-tengah sudut pasar raya itu.

Video tular itu telah mendapat pelbagai kecaman daripada netizen dan rata-rata mengutuk tindakan wanita-wanita tersebut.

Marah dengan tindakan mereka, pengguna Facebook Azman Man menyifatkan kegiatan individu berkenaan memalukan bangsa.

"Sudahlah bertudung tapi mencuri. Memalukan bangsa.

"Sepatutnya tunjukkan akhlak yang bagus. Marah aku tengok video ini," tulisnya.

"Selalunya mereka yang mencuri ini akan jual balik.

"Mereka yang kerja pasar raya selalu jumpa sindiket pencuri susu bayi, Milo, Nescafe, sabun pencuci dan sebagainya,"kata ET Gaat.

"Itulah kegunaan pelitup muka. Orang tidak dapat nak cam pencuri.

"Susu mahal yang mereka 'rembat' itu. Kalau tidak silap, satu tin susu Enfagrow bernilai lebih RM200,"kata Royz Stonz.

Setakat ini, belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram