SEPERTI yang kita tahu, kini sudah ramai yang mula kembali bekerja di pejabat dan hal ini mula memberi kesan terhadap kesihatan mental sebahagian individu.
Peralihan rutin bagi mereka yang sebelum ini bekerja dari rumah selama dua tahun menyebabkan ramai yang tidak mampu menangani tekanan ketika berada di tempat kerja.
Pakar Psikologi dan Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, perkara pertama yang pekerja perlu lakukan adalah untuk membuat persediaan awal dengan diri sendiri.
"Berbicara pasal tekanan di tempat kerja ini, kita tidak boleh lihat pada satu-satu isu saja. Pekerja sebenarnya sentiasa berhadapan dengan tekanan kerja walau di mana mereka berada, namun yang penting pekerja tersebut perlu membina resilience (daya tahan) dalam diri.
"Maksudnya walaupun berdepan dengan apa saja isu, individu tersebut perlu bangkit semula. Jangan terlalu melihat sesuatu perkara dengan serius dan cuba cari ketenangan serta kebahagiaan yang boleh menggembirakan diri sendiri. Mereka perlu kuat untuk mengatasi masalah tersebut," katanya kepada Majoriti.
Fauziah berkata, salah satu cara untuk membangunkan daya ketahanan diri adalah menerusi hubungan baik bersama keluarga, kawan-kawan dan masyarakat. — Majoriti
Mengulas lanjut, Fauziah berkata, tekanan di tempat kerja biasanya tercetus kerana seseorang individu tidak mampu menyeimbangkan peranan di tempat kerja dan keperluan keluarga di rumah.
Menurutnya, salah satu cara untuk membangunkan daya ketahanan diri yang tinggi antara lain menerusi hubungan yang baik bersama keluarga, kawan-kawan dan masyarakat.
"Dua tahun bekerja dari rumah, mungkin ambil masa untuk menyesuaikan diri, itupun boleh jadi satu punca juga.
"Ahli keluarga dan rakan-rakan perlu bertindak sebagai kumpulan sokongan untuk individu tersebut. Apabila dia dapat sokongan seperti ini, individu tersebut akan rasa disayangi sekali gus meningkatkan keyakinan dirinya," jelasnya.
Namun begitu, Fauziah berkata, ada di antara individu yang mengalami tekanan di tempat kerja tidak suka bersosial dan malu untuk meluahkan masalah mereka kepada orang lain.
"Mereka selalunya lebih suka untuk berdiam diri dan memendam perasaan. Selalunya, saya akan cadangkan pada mereka untuk mencari kawan secara maya atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Befrienders untuk berkongsi perasaan.
Individu yang mengalami tekanan kerja boleh mencari kawan secara maya atau NGO seperti Befrienders untuk berkongsi perasaan. — Agensi
"Sebenarnya ada beberapa forum secara dalam talian yang boleh mereka sertai untuk mengurangkan tekanan kerja yang dihadapi, kadang-kadang berbual tentang masalah mereka dengan orang yang tidak dikenali juga boleh membantu mengurangkan masalah tekanan kerja ini.
"Nasihat saya ialah buat perkara yang anda suka, cari hobi atau aktiviti baru yang mampu membantu meredakan tekanan emosi," katanya.
Berbicara kaedah untuk menangani tekanan kerja yang disebabkan oleh majikan, Fauziah berkata, pekerja itu sendiri harus berubah kerana situasi antara majikan dan pekerja sukar untuk diubah lebih-lebih dalam persekitaran di pejabat.
"Majikan tetap akan menjadi majikan. Pekerja itu sendiri yang harus tackle masalah tersebut. Pekerja perlu membayangkan diri mereka seperti ikan di laut yang mana ia perlu beradaptasi dengan keadaan sekeliling.
Pekerja yang berdepan tekanan dinasihat untuk meluahkan masalah mereka kepada orang lain. — Agensi
"Majikan ini ibarat laut masin tetapi ikan itu sendiri tetap rasa tawar. Maksudnya, ada masa keadaan laut itu tenang dan ada masa arus bergelora, jangan biarkan diri hanyut dibawa arus, kuatkan semangat dan cari 'perlindungan' yang boleh membantu untuk terus hidup.
"Jadi individu itu sendiri perlu kuat dan tidak rapuh apabila berdepan dengan situasi persekitaran pejabat yang toksik.
"Kadang-kadang, masalah tekanan kerja ini bukan berpunca dari majikan tetapi lebih kepada rakan sekerja. Elakkan bergaul dengan rakan sepejabat yang mempunyai aura negatif kerana ia mampu mengubah mood pekerja tersebut.
"Majikan juga turut memainkan peranan untuk menyediakan persekitaran yang harmoni dan memberi semangat kepada pekerja serta bercakap secara terbuka.
"Saya faham kadang-kadang majikan perlu tegas tapi cuba gunakan intonasi yang betul apabila bercakap dengan pekerja dan sekiranya ada pretasi pekerja mereka kurang memuaskan, ajak berbincang. Jangan 'sergah" kerana kadang-kadang perbuatan seperti itu boleh menyebabkan trauma," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram