WALAUPUN didikan demi didikan telah diterapkan dalam bab kebersihan pada masyarakat, namun amat mendukacitakan apabila masih ada segelintir individu degil membuang sampah di tempat yang tidak sepatutnya.
Malah ada yang mengambil jalan mudah membuang sampah di tepi jalan. Sikap jelik membuang sampah seperti ini ibarat individu tersebut tiada kesedaran sivik.
Perbuatan itu juga menunjukkan sikap mementingkan diri apabila membuang sampah daripada kenderaan dengan tanggapan ada pihak akan membersihkannya.
Video tular yang memaparkan tindakan seorang makcik membuang sampah di persimpangan lampu isyarat mendapat pelbagai reaksi warganet.
Video yang dimuat naik menerusi Halaman Facebook Cik Man itu telah mencetuskan pelbagai spekulasi di media sosial.
"Kita patut berterima kasih kepada makcik ini," tulisnya.
Video pendek berdurasi 8 saat itu menunjukkan seorang wanita keluar dari sisi belakang sebuah kereta dan kemudiannya melontar plastik sampah tersebut ke bahu jalan.
Namun, ada pengguna Facebook yang tidak berpuas hati dengan video yang dimuat naik oleh Cik Man itu.
Izzat Yusuf video tersebut menimbulkan keraguan sama ada makcik tersebut membuang sampah atau hanya mengalihkan sampah tersebut ke tempat lain.
"Video tidak jelas, dia turun buang atau alihkan?" katanya.
Seorang lagi pengguna Facebook meminta Cik Man untuk memberikan tajuk yang tidak mengelirukan dan video penuh bagi mengelakkan pengguna lain mebuat tanggapan sendiri.
"Nak video dari awal boleh? Tak tahu hujung dan pangkal, takut yang komen dapat dosa saja.
"Jika makcik itu hanya alihkan sampah, saudara yang menanggung dosa diatas video ini, ibarat menfitnah,"tulis Mohd Yusri.
Tidak dapat dipastikan lokasi sebenar video itu berlaku.
Hasil pemerhatian Majoriti juga, rata-rata warganet mengecam tindakan pemilik akaun tersebut yang main-main menjawab soalan yang ditanyakan berkenaan video tersebut. — Majoriti