Bekalan elektrik seluruh negara pulih selepas hampir 2.5 jam, PMU Yong Peng jadi punca


  • Primer
  • Rabu, 27 Jul 2022

TNB mengesahkan bekalan elektrik sudah kembali pulih.

GANGGUAN bekalan elektrik yang berlaku di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri lain berjaya dipulihkan kira-kira pukul 3.02 petang pada Rabu.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam satu kenyataan berkata, kebanyakan kawasan terjejas berjaya dipulihkan secara berperingkat seawal 20 minit gangguan berlaku hasil usaha berterusan Pasukan Teknikal TNB.

"Siasatan TNB mendapati gangguan bekalan elektrik bermula pada pukul 12.39 tengah hari berpunca daripada kerosakan satu daripada peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor.

"Ia telah mengakibatkan kehilangan beban sebanyak 2.2GW yang merupakan 10 peratus daripada keseluruhan permintaan bekalan di Semenanjung Malaysia," katanya.

Terdahulu, beberapa negeri di Semenanjung melibatkan kawasan tertentu dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik.

Selain Lembah Klang, Selangor, gangguan berlaku di Bangsar, Cheras, Shah Alam dan beberapa tempat lain.

Sementara itu, beberapa negeri lain yang turut terkesan termasuk Pulau Pinang, Perak, Kedah, dan Pahang.

DBKL dalam satu kenyataan juga meminta supaya pengguna jalan raya berhati-hati ekoran beberapa lampu isyarat tidak berfungsi susulan ketiadaan bekalan elektrik.

Dalam pada itu, TNB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan eletkrik dan sebarang pertanyaan lain boleh menghubungi talian TNB Careline di 15454. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram