KEHILANGAN seorang warga emas mencetuskan misteri kepada penduduk setempat selepas dia dilaporkan hilang di dalam hutan sebaik pulang daripada berubat secara tradisional.
Kehilangan lelaki berusia 47 tahun itu disedari isterinya selepas mangsa dilaporkan tiada di tempat tidur ketika mereka bermalam di rumah saudara di Kampung Buket Meugajah, Aceh Barat, Indonesia.
“Mangsa yang dilaporkan hilang bernama Syarifuddin, seorang penduduk Kampung Blang Mee di Aceh Barat,” kata Koordinator Meulaboh Pos Basarnas, Liza Irwansyah.
Liza Irwansyah berkata, mangsa terdahulu mendapatkan khidmat pawang di sebuah tempat di kawasan Kampung Blang Dalam, Woyla Timur, Aceh Barat untuk mengubati masalah gastrik yang dialami secara tradisional.
"Setelah berubat, mangsa tidak pulang ke rumahnya dan bermalam di rumah saudara di Kampung Buket Meugajah bersama anak dan isterinya," kata Liza Irwasyah seperti dipetik Aceh iNews pada Selasa.
Menurutnya, kira-kira pukul 5 pagi, isteri mangsa mendapati dia sudah tidak lagi berada di tempat tidur dan dipercayai hilang dari rumah.
Menyedari keadaan itu, isteri mangsa lantas melaporkan kejadian itu kepada abangnya dan beberapa penduduk lain untuk menggerakkan usaha mencari Syarifuddin.
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) Nasional Pos Meulaboh yang menerima laporan itu kemudian ke lokasi untuk membantu usaha pencarian sehingga Isnin, malam namun gagal mengesan keberadaan mangsa.
Usaha pencarian yang dilakukan bersama pasukan tentera dan sukarelawan itu turut meliputi ladang kelapa sawit, hutan dan kawasan sungai di daerah Woyla Timur, Aceh Barat.
“Kami masih meneruskan pencarian, setakat ini tiada langsung tanda-tanda keberadaan mangsa,” kata Liza Irwansyah. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram