'Gambar lebam ditumbuk,' CEO Perak FC tegur pemain muda Selangor II


  • Podium
  • Rabu, 27 Jul 2022

Luciano Guaycochea (kanan) cedera selepas ditumbuk pemain Selangor II. — Bernama

PERLAWANAN antara pasukan Selangor II menentang Perak FC di Stadium UiTM, Shah Alam pada Selasa masih menjadi bualan susulan aksi tegang kedua-dua pasukan pada minit akhir permainan.

Menerusi perlawanan itu, pemain Selangor II, Iqmal Ramlan didapati bertindak menumbuk pemain Perak, Luciano Guaycochea.

Tindakan itu menyaksikan Iqmal dilayangkan kad merah dan berlaku insiden tolak menolak antara pemain kedua-dua pasukan.

SHAH ALAM, 26 Julai -- Pemain pasukan Selangor FC 2 Ahmad Danial Ahmad Asri (tengah) cuba mengawal bola dari pemain pasukan Perak FC pada perlawanan Liga Premier Malaysia 2022 antara pasukan Selangor FC 2 bertemu pasukan Perak FC di Stadium Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini.
Kedua pasukan terikat 0-0 pada separuh masa pertama.
--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Sebahagian daripada aksi pemain Selangor II dan Perak FC. — Bernama

Susulan insiden itu, Ketua Pegawai Esekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Arie Sham melahirkan rasa kecewa dan mahu tindakan setimpal diambil.

"Kepada pemain muda, sikap sebegini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima dan tidak masuk akal.

"Saya harap pasukan terbabit (Selangor II) akan mengambil tindakan tegas terhadap insiden tersebut," katanya.

Arie Sham turut memuat naik gambar muka Luciano yang lebam di bahagian mata ekoran ditumbuk pemain Selangor II.

Sementara itu, beberapa penyokong Perak FC turut meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap insiden tersebut.

"Pihak pengurusan Perak FC kena buat bantuan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL)," kata Haz Hakimi.

Sementara itu, seorang lagi penyokong Perak FC, Fadzli Basir menganggap apa yang berlaku itu sebagai pengajaran kepada pemain muda Perak FC.

"Biasalah pemain muda gagal kawal emosi. Sewaktu permainan dia tak rasa tetapi sekarang mesti ada rasa penyesalan. Iktibar untuk pemain muda Perak FC," katanya.

Menerusi perlawanan pada Selasa, skuad kendalian Yusri Che Lah beroleh kemenangan menerusi jaringan tunggal penyerang mereka, Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-76 manakala Selangor II pula gagal menjaringkan sebarang gol. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram