'Terima kasih Benjamin', kenyataan JDT beri titik noktah


  • Podium
  • Rabu, 27 Jul 2022

Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan. — Facebook/ Johorsoutherntigers

TANDA tanya mengenai status ketua jurulatih pasukan Johor Darul Takzim, Benjamin Mora yang dikatakan bakal meninggalkan kelab terbabit menemui tanda noktah.

Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT) dalam satu kenyataan rasmi mengesahkan bahawa kelab tersebut telah menamatkan kerjasama bersama jurulatih dari Mexico itu.

Kelab Harimau Selatan itu menjelaskan bahawa Benjamin mohon untuk pulang ke negaranya atas urusan peribadi.

Bagaimanapun, kelab itu mengakui sentiasa terbuka untuk menerima Benjamin kembali sekiranya beliau mahu pada masa akan datang

"Kelab JDT mengucapkan terima kasih kepada Benjamin Mora atas khidmat baktinya.

Benjamin telah meminta untuk membenarkan beliau pulang ke Mexico bagi menyelesaikan urusan peribadi yang tidak dapat dielakkan dan JDT telah menghormati permintaan tersebut dan akan membiarkan pintu sentiasa terbuka untuk beliau kembali pada masa akan datang.

Benjamin merupakan jurulatih JDT yang paling berjaya dengan empat kejuaraan Liga Super Malaysia, empat Piala Sumbangsih, satu Piala Malaysia dan membawa JDT ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara AFC tahun ini.

Benjamin telah mengendalikan 148 perlawanan sepanjang dua kali tugasan sebagai jurulatih JDT sejak 2017, dan memenangi 102 perlawanan.

"Terima kasih, Benjamin. Anda akan selamanya menjadi sebahagian daripada Keluarga JDT. Jumpa lagi." — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram