AYAH kepada Pegawai Kadet Laut, Allahyarham Zulfarhan Osman meluahkan rasa kecewa dan terkilan dengan dengan tindakan 'Ultras' UKM yang melaungkan chant dengan liriknya berbunyi: "Iron untuk gosok baju."
Difahamkan, lirik tersebut berkait rapat dengan kes Zulfarhan yang maut akibat ditekap dengan seterika.
Video tular, 'Ultras' UKM dilihat menyanyi lagu dengan liriknya berbunyi: "Iron untuk gosok baju." turut mengundang kemarahan orang ramai.
Zulkarnain Idris berkata, sebagai seorang bapa, dia rasa terkilan dengan insiden tersebut apatah lagi ia melibatkan pegawai Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sendiri.
"Pegawai-pegawai ini sepatutnya menunjukkan teladan yang baik kepada pelajar tapi mereka yang sama-sama 'naik menganjing' lagu itu.
"Jujur, saya memang kecil hati dengan lagu yang mereka tujukan kepada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)," katanya kepada Majoriti.
"Isu ini sensitif dan sepatutnya pegawai ini peka dengan perkara tersebut.
"Bagi saya mereka tidak menghormati kami sebagai keluarga arwah dan kalau boleh saya minta janganlah buat macam ini.
"Anak saya meninggal dengan keadaan yang tragis. Sudah tentu saya kecewa apabila kematian dia dijadikan bahan provokasi," katanya lagi meluahkan rasa kecewa.
Malah ayah Allahyarham Zulfarhan, menyifatkan sikap tersebut tidak menunjukkan semangat kesukanan langsung.
"Sepatutnya pegawai UKM lebih yang bertugas sebagai pegawai hal ehwal pelajar lebih sensitif dan lebih peka tentang hal ini.
"Rasanya mereka (pegawai) ini tahu tentang kes anak saya, kalau pelajar saya faham, mereka muda dan mungkin tidak mengikuti perkembangan semasa kerana kes anak saya pun dah lama berlaku.
"Mereka orang lama dan sepatutnya mereka tegas. Jangan nyanyi lagu itu dan patut halang pelajar membuat perkara tersebut," katanya.
Zulkarnain turut berharap agar insiden seumpama itu tidak akan berlaku lagi pada masa depan.
"Tolong jangan buat lagi dan jadikan sebagai satu pengajaran.
"Saya minta kalau ada perlawanan lagi yang melibatkan UPNM, tidak payahlah nak menyanyi atau bangkitan isu sensitif ini," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram