
GURU yang berasa tertekan kerana terpaksa melakukan perkara yang bercanggah dengan prinsip pendidikan perlu membuat aduan kepada pihak atasan.
Perkara itu ditegaskan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika diminta mengulas mengenai guru yang terpaksa menipu demi mendapatkan data yang cantik melibatkan murid sekolah.
Menurutnya, jika benar dakwaan tersebut berlaku, guru berhak membuat aduan ke Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) atau terus ke Jabatan Pendidikan negeri jika aduan tidak diendahkan.
"Kita mempunya saluran untuk membuat aduan dan sebagainya untuk selesaikan masalah. Guru sebenarnya ada saluran dan bukan terpaksa berdepan jalan buntu," katanya kepada Majoriti.
Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
Jelas Alimuddin, dalam satu kelas yang mempunyai 40 murid, kebiasaannya memang akan ada 80 peratus pelajar di peringkat sederhana, 20 peratus (bijak) dan 20 peratus (lemah).
Katanya lagi, mungkin berlaku salah faham antara arahan yang diberikan dan perkara itu sepatutnya diselesaikan lebih awal.
"Saya rasa guru perlu berbincang berkenaan arahan yang diberikan kepada mereka supaya tidak timbul salah faham.
"Guru memang kena positif kerana jika awal-awal lagi mereka sudah negatif, semua mahu letak jawatan memang susahlah kalau begitu," katanya.
Terdahulu, Majoriti melaporkan luahan seorang guru yang bersara awal disebabkan rasa tekanan kerana terpaksa menipu data untuk memuaskan hati pihak atasan.
Malah, guru Bahasa Inggeris itu juga meluahkan bahawa kebebasan suara guru seolah-olah disekat kerana jika menyatakan rasa tidak setuju, maka arahan untuk bertukar sekolah akan diberikan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram