Lagi guru luah bebanan kerja, terpaksa keluar duit sendiri nak pastikan kelas tak terganggu


  • Massa
  • Rabu, 15 Jun 2022

Antara tugas bukan hakiki yang terpaksa dilakukan oleh guru. — Gambar hiasan/ Facebook Mohd Nazlan

ISU tugas pendidik di sekolah kerajaan seolah-olah tiada jalan penyelesaian, apabila masih ada lagi dalam kalangan mereka yang mengadu tentang bebanan kerja.

Meskipun bukan perkara baharu, bebanan kerja bukan hakiki di samping kos yang terpaksa dikeluarkan sendiri bagi melengkapkan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP), sudah tentu memberi kesan kepada kesihatan mental bagi seseorang guru.

Tampil membuat luahan, Mohd Nazlan mempersoalkan sekiranya Penilaian Bilik Darjah (PBD) mampu dilaksanakan jika pendidikan di Malaysia masih menghadapi beberapa masalah.

Guru sekolah rendah tersebut berkata, ini termasuk bilangan murid dalam sesebuah kelas melebihi 40 hingga 45 orang, keadaan kelas yang kurang kondusif, serta prasarana PdP dibekalkan oleh kerajaan masih kurang peruntukan.

"Malah, peruntukan pekerja pembersihan sekolah pun masih kurang, selain kekurangan tenaga guru dalam sesebuah sekolah masih tidak dapat diselesaikan.

"Bilangan waktu mengajar bagi guru pula sebanyak 30 hingga 34 waktu seminggu. Kelengkapan PdP guna duit poket cikgu seperti pen marker, kertas A4, printer, laptop, dakwat printer, serta kos fotostat lembaran kerja.

"Belum masuk lagi guru kelas kena hias kelas guna duit poket sendiri. Lepas tu dok hadam jelah ayat 'Tak apa, semua tu insya-ALLAH akan ada balasannya di hari kemudian.

"Betul ayat tu tapi perlu diperbetulkam semula kalau ada peruntukan yang khas untuk guru-guru dalam membeli keperluan PdP," katanya tanpa mendedahkan lokasi sekolah berkenaan menerusi hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Nazlan berkata, dia tidak terkejut jika wujud anugerah sekolah terbaik PBD peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.

Katanya, ikon PBD akan dijadikan contoh amalan terbaik sebagai bahan tontonan para guru Malaysia untuk diikuti.

"Ambil istilah sekolah tu boleh buat, takkan kita tak boleh buat. Masa ni siapa yang stress? Cikgu jugalah. Dia (orang atasan) tak tahu yang sekolah contoh tu cikgu-cikgu stres dengan tekanan je. Retak menanti belah.

"Macam ni dikatakan persaingan sihat bagi sesetengah pihak?" soalnya kesal.

Masalah hanya alasan

Pada masa sama, katanya, masalah-masalah yang dihadapi guru tersebut sebaliknya dipandang enteng dan sepi oleh orang atasan.

Lebih teruk, katanya, orang atasan hanya akan menganggap masalah itu sebagai suatu alasan.

"Orang atasan hanya cakap guru dan pentadbir perlu bijak gunakan sumber yang ada. Nak guna sumber apanya kalau dah lambakan kerja guru semua kena buat sendiri?

"Lepas tu bila murid dapat Tahap Penguasaan (TP) 1 dan TP2 kena bukti eviden bagai. Lepas tu nak kena plan CUP 1,2,3,4.

"Lepas tu di sekolah nak kena hadap macam-macam lagi. Kalau bagi murid TP6 pula kena bagi eviden lagi. Perkara ni sebenarnya menggalakkan kami para guru lebih nak selamatkan diri je.

"Akhirnya bubuh jela TP sebagai jalan selamat. TP3 hingga TP5, tak payah pening-pening nak buat kerja pendokumentasian lebih. Selamat sikit bajet ink printer," katanya sinis.

Cadangan penyelesaian

Justeru, Mohd Nazlan mengesyorkan PBD bagi sekolah rendah perlu dipermudahkan supaya ia dapat dilaksanakan oleh guru-guru dengan lebih tepat dan berkesan.

Sebagai contoh, TP1 hingga TP6 perlu dimansuhkan dan hanya jadikan TP1 hingga TP3.

"Tidak perlu pelaporan eviden individu murid-murid pada PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) dan JPN (Jabatan Pelajaran Negeri). Memadai pelaporan keseluruhan disediakan oleh guru besar untuk PPD dan JPN.

"Jika PPD dan JPN perlu rujukan lanjut, pihak sekolah boleh tunjukkan fail murid untuk pembuktian PBD. Itupun jika perlu untuk tujuan jaminan kualiti," katanya.

Selain itu, Mohd Nazlan mencadangkan supaya maksimum bilangan murid sesebuah kelas dihadkan.

Hal ini kerana, dia menganggap bahawa tidak relevan sekiranya bilangan murid dalam sesebuah kelas itu mencapai 45 orang.

Malah, dia turut mencadangkan supaya bilangan kemasukan murid di sesebuah sekolah dihadkan serta mengikut kapasiti sekolah.

"Bukan main sumbat je sampai sekelas santak 48 hingga 49 orang. Kerja siapa yang masukkan murid dalam sesebuah sekolah jangan tanya saya. Korang (anda) pandai la mikior (fikir).

"Cukupkan bilangan guru dalam sesebuah sekolah.

"Fokuskan kepada M/P teras bagi sekolah rendah. Barulah dapat atasi masalah 3M (membaca, menulis, mengira). Ini tidak, cikgu tak cukup. Bila nak selesai masalah 3M, guru pencen tiada pengganti. Kesudahan relief jelah," katanya.

Bukan itu sahaja, Mohd Nazlan turut menyarankan agar peruntukan khas diwujudkan bagi membantu sekolah-sekolah yang berusia lebih daripada 20 hingga 30 tahun, untuk proses baik pulih dan penyelenggaraan sekolah.

"Kesian sekolah-sekolah yang berusia macam-macam nak kena maintain (selenggara). Bukan sekolah yang kena cari dana sendiri, lepas tu maintain sendiri.

"Lepas tu masuk pertandingan keceriaan macam-macam. Lepas tu claim sekolah terbaik KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia). Sekolah cari dana lepas tu nama dapat kat KPM.

"Saya sayang karier sebagai guru. Tapi, orang atasan hanya bertindak kerahan tenaga lepas tu ugut dengan markah prestasi," luahnya lagi.

Minggu ini, portal berita ini menyiarkan siri laporan berkaitan guru bersara awal termasuk luahan golongan pendidik berkaitan tugas yang mereka jalankan selain tanggungjawab hakiki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram