Bekas KP Pendidikan dedah 3 punca guru bersara awal ketika eranya


  • Primer
  • Khamis, 21 Jul 2022

Ada sebab tertentu mengapa guru pilih untuk bersara awal sejak dahulu lagi.

KEPUTUSAN guru untuk bersara awal sebenarnya bukan sesuatu yang hanya berlaku kebelakangan ini, sebaliknya sudah dihadapi sejak dahulu lagi.

Bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, ada tiga sebab utama yang sering menjadi isu mengapa guru memilih untuk bersara awal.

"Memang sejak dahulu lagi ada guru yang mengambil keputusan untuk bersara awal. Biasanya kerana guru tersebut mempunyai masalah kesihatan yang menyebabkan mereka tidak dapat bekerja.

"Ada yang mengalami darah tinggi, kencing manis dan sebagainya hingga membuatkan mereka tidak boleh bekerja dan perlu berehat di rumah.

Chairman Yayasan Guru Malaysia Malaysia Bhd Tan Sri Alimuddin Mohd Dom during an interview with Star at his office in Wangsa Maju on February  15, 2016.ROHAIZAT MD DARUS/STAR.

Bekas Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

"Perkara itu akan memberi kesan kepada pelajar di sekolah dan itu yang menyebabkan guru tersebut memilih untuk bersara awal," katanya kepada Majoriti.

Menurut Alimuddin, sebab lain mengapa guru memilih bersara awal adalah disebabkan hubungan jarak jauh antara suami dan isteri.

"Katakan suami bertugas di Kedah dan isteri bertugas di Melaka. Jadi nak tukar sekolah itu mungkin mengambil masa sedangkan anak mereka masih kecil.

"Jadi seorang daripada mereka mengambil keputusan untuk berhenti kerja," katanya.

Sebab lain jelas Alimuddin adalah kerana guru tersebut mempunyai peluang lain seperti perniagaan atau menerima tawaran kerja dengan gaji lebih lumayan.

Ditanya mengenai guru bersara awal disebabkan tekanan dan sebagainya, Alimuddin berkata, mereka ini tidak perlu berhenti sebaliknya perlu terus mendapatkan khidmat kaunseling.

"Jika rasa tekanan, terus berjumpa dengan unit kaunseling, jangan tangguh. Sebab mereka ini boleh beri bantuan atau berbincang mengenai kaedah tertentu yang boleh dilakukan guru untuk mengurangkan tekanan.

"Apa sekalipun yang berlaku, seorang guru perlu tahu peranan mereka iaitu memberikan yang terbaik kepada pelajar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram