Jual minyak masak subsidi RM1 lebih mahal, peniaga kedai runcit di Melaka bakal didenda RM1 juta


  • 112
  • Selasa, 19 Jul 2022

Peniaga kedai runcit itu turut dikesan memberi keutamaan kepada peniaga makanan untuk membeli minyak subsidi itu. — Gambar hiasan/Bernama

SEORANG peniaga kedai runcit berdepan denda sehingga RM1 juta selepas dikesan menjual minyak masak paket bersubsidi RM3.50 sebungkus berbanding harga asal RM2.50.

Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka, Norena Jaafar berkata, pihaknya menyerbu premis berkenaan kira-kira pukul 11 pagi pada Selasa.

"Peniaga berusia lingkungan 40-an itu turut dikesan memberi keutamaan kepada peniaga makanan membeli minyak paket tersebut berbanding pengguna lain.

"Justeru, tindakan ke atas peniaga itu akan diambil mengikut Seksyen 22 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang memperuntuk hukuman maksimum denda RM1 juta atau penjara tiga tahun bagi individu manakala bagi pertubuhan atau perbadanan, denda maksimum ialah RM2 juta.

"Ketika serbuan dilakukan, seorang pegawai KPDNHEP kita menyamar sebagai pelanggan dengan berpakaian preman untuk membeli minyak masak paket tersebut dan ketika itu, minyak berkenaan tinggal sepaket sahaja.

"Minyak itu dijual pada harga RM3.50 sebungkus sedangkan harga yang ditetapkan kerajaan ialah RM2.50 sebungkus dan hanya boleh dijual kepada pengguna biasa bukannya kepada peniaga makanan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Norena juga berkata, premis itu antara 14 kedai runcit yang diserbu bagi memastikan bekalan minyak masak bersubsidi sentiasa mencukupi dan dijual pada harga ditetapkan menerusi kaedah penyamaran.

Serbuan itu dilakukan susulan aduan dan maklum balas pengguna di media sosial KPDNHEP berhubung kesukaran mendapatkan bekalan minyak masak paket sekilogram di kawasan mereka.

Beliau berkata, setiap pengguna hanya dibenarkan membeli tiga paket minyak itu dan peniaga atau peruncit perlu memastikan had yang ditetapkan tidak dilanggar.

"Pendekatan ini akan diteruskan di seluruh Melaka bagi memastikan setiap isi rumah mampu mendapatkan minyak masak bersubsidi itu.

"Pemborong serta peruncit yang menjual barang kawalan hendaklah sentiasa mematuhi arahan pengawal bekalan yang telah dikeluarkan atau berdepan tindakan tegas sekiranya gagal mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram