KESABARAN dan ketelitian merupakan kunci kepada penghasilan seni tanah liat yang bukan sahaja cantik di pandangan mata, malah kehalusan butirannya mampu dirasai apabila disentuh.
Proses penghasilan seni tanah liat yang unik menambat hati pelajar tingkatan 6, Vieshaalaani a/p Raja, sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam bagi menyiapkan satu-satu reka bentuk yang terlintas di fikirannya.
Mula berjinak-jinak dalam seni tanah liat seawal usia tujuh tahun, gadis yang kini berusia 20 tahun tersebut menggunakan ruang tamu rumahnya sebagai medan untuknya berkarya.
"Cinta saya terhadap seni tanah liat ini memang datang semula jadi. Saya kagum melihat bagaimana dari sekeping tanah liat putih boleh dibentuk menjadi apa sahaja yang kita mahu.
Ruang tamu rumah menjadi lokasi Viesha menyiapkan hasil seni tanah liatnya.—Majoriti
"Secara peribadi, saya memang suka pada reka bentuk-reka bentuk yang comel. Kebanyakan kraf yang saya buat diinspirasi daripada ilustrasi sedia ada.
"Ada masanya, saya juga membuat gubahan berdasarkan cetusan idea saya sendiri. Saya suka mencuba pelbagai teknik untuk memperbaiki lagi kemahiran yang saya ada.
"Bergantung pada jenis reka bentuk, prosesnya tidak mudah. Kadang-kadang, saya sampai lupa makan atau tidak tidur kerana saya terlalu obses untuk menyiapkannya
"Oleh kerana ini hobi pada masa lapang, saya hanya keringkan tanah liat yang dibentuk dengan membiarkannya semalaman. Selepas tanah liat dibiarkan kering semalaman, saya akan mulakan proses mewarna dengan menggunakan cat air," katanya kepada Majoriti.
Menurut Viesha yang juga seorang penari tarian Bharathanatiyam, kos untuk menghasilkan seni ukiran ini agak mahal dan bahan-bahan yang diperlukan juga sukar untuk diperolehi.
Sebahagian daripada hasil seni tanah liat yang dihasilkan Viesha pada masa lapang.—Majoriti
Proses penghasilan reka bentuk ini memakan masa empat hari dan memerlukan lima paket tanah liat.—Majoriti
Ada kalanya, Viesha terpaksa habiskan masa berhari-hari semata-mata untuk mencari bahan kerana bekalan yang diperlukan jarang ada di kedai-kedai alat tulis biasa.
Bagaimanapun, Viesha mengakui bersyukur memiliki keluarga yang memahami minatnya dan menyokong usahanya untuk menghasilkan lebih banyak seni daripada tanah liat.
"Perkara yang paling sukar adalah nak cari bahan terutama tanah liat. Kadang-kadang stok di Kajang tak ada. Jadi, saya terpaksa pergi ke Kuala Lumpur untuk beli bahan. Ini termasuk dengan bahan mewarna.
"Namun, keluarga dan kenalan rapat saya sangat memahami. Mereka membeli seni tanah liat saya sebagai tanda sokongan. Kadang-kadang mereka minta saya hasilkan satu reka bentuk untuk dijadikan buah tangan," jelasnya lagi.
Bagi peminat seni tanah liat, Viesha ada beberapa tips yang boleh kalian pertimbangan jika mahu hasilkan seni tanah liat di rumah.
1. Inspirasi ada di mana-mana
Luangkan sedikit masa untuk meneliti hasil-hasil kerja orang lain boleh membantu untuk membentuk idea tentang jenis karya yang kita mahu. Cuba bawa buku lakaran kecil dan lakar sebarang bentuk, corak atau tekstur menarik yang kita temui. Nanti boleh jadikan inspirasi!
2. Jangan letak banyak sangat air
Pastikan kandungan air dalam adunan tanah liat tidak terlalu banyak. Kalau terlalu banyak nanti, susah nak bentuk sebab tanah liat jadi terlalu cair. Membazir je nanti. Viesha biar sahaja tanah liat itu kering semalaman sebelum proses mengecat.
3. Banyakkan latihan
Viesha akui banyak lagi kemahiran yang perlu dia perbaiki. Oleh itu, dia galakkan sesiapa sahaja yang berminat dengan seni ini untuk berlatih. Cuba berlatih seberapa kerap yang anda mampu, dan gunakan video dan tutorial dalam talian untuk mengasah teknik sedia ada.
4. Seni ini perlukan kesabaran yang tinggi
Seni tanah liat memerlukan banyak kesabaran. Ingat! Kita boleh belajar banyak daripada sesuatu proses itu. Setiap kesalahan atau ketidaksempurnaan yang ada boleh diperbaiki. Pengalaman itu nanti akan jadikan semuanya berbaloi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram