KEMENANGAN 1-0 Kelantan FC ke atas UiTM FC pada Isnin sekali gus menjadikan skuad The Red Warriors (TRW) berada di kedudukan teratas dalam Liga Perdana ketika ini.
Dalam perlawanan yang berlangsung Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan itu, pemain tengah TRW, Syed Sobri Syed Mohd muncul wira buat pasukan Kelantan apabila berjaya menembusi gawang UITM FC pada minit ke-76.
Nik Affenddy Mohamad menerusi laman Facebook berkata, meskipun kurang berpuas hati dengan perlawanan itu, penyokong Kelantan perlu bersikap realistik.
Ketiadaan persaingan sengit antara TRW dan UiTM FC didakwa meletakkan momentum perlawanan tersebut terjejas. — Facebook/TRW Kelantan FC
Dalam perlawanan itu juga, penyokong TRW tersebut berkata, corak permainan UiTM pada pusingan kedua tidak sama seperti pusingan pertama.
"Mereka telah kalahkan Terengganu II dengan 3-0, walaupun pusingan pertama mereka kalah dengan Terengganu II dengan 0-2.
"Memang permainan kita nampak tak menjadi, tapi perasan tak, UiTM tadi sangat liat terutama di barisan pertahanan mereka," katanya.
Mengulas lanjut, Nik Affenddy menyifatkan bahawa tiada persaingan sengit dalam perlawanan tersebut.
Katanya, ini sekali gus meletakkan momentum perlawanan tersebut terjejas.
"Setakat 'sparing partner' sesama team tidak membantu sangat menaikkan kualiti keserasian dan permainan.
"Kita ada dua import baharu. Permainan bola sepak adalah tentang kesefahaman. Game pertama sebagai satu team. Biasalah tu," katanya.
Meskipun memuji kemenangan itu sebagai semangat yang baik, beliau juga menganggap bahawa kelemahan dalam perlawanan itu membuka mata jurulatih, untuk memperbaiki perkara yang sepatutnya menjelang perlawanan dengan Johor Darul Takzim (JDT) II.
"Persoalannya, adakah kita bersedia nak lawan JDT II hujung minggu ni?" soalnya.
Difahamkan, perlawanan TRW dengan JDT II yang dijangka diadakan pada 26 Julai ini ditangguhkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram