SEORANG kanak-kanak lelaki berusia 4 tahun terselamat dalam satu kemalangan ngeri, membabitkan sebuah lori tangki Pertamina di Jalan Transyogi, Jatisampurna, dekat Kota Bekasi, Jawa Barat, Indonesia.
Difahamkan, kanak-kanak tersebut kini dirawat di Hospital Pertamina Cibubur.
Menerusi hantaran Instastory hospital tersebut pada Isnin, kanak-kanak itu dirakam sedang berbaring, manakala kepalanya berbalut.
"Seorang kanak-kanak lelaki ditemui cedera akibat nahas jalan raya di kawasan Lebuhraya Cileungsi," tulis hospital tersebut.
Pada masa sama, orang ramai atau waris yang mengenali kanak-kanak tersebut boleh menghubungi Hospital Permata Cibubur di talian 08111115072.
Sementara itu, pegawai Perhubungan Awam Hospital Permata Cibubur, yang dikenali sebagai Rio mengesahkan bahawa, kanak-kanak tersebut sedang dirawat manakala ahli keluarga bakal menjemputnya.
Namun, Rio tidak mengulas lanjut mengenai maklumat keluarga kanak-kanak itu, selain tidak menjelaskan sama ada ibu bapanya turut menjadi mangsa dalam kemalangan tersebut.
"Esok (Selasa) kami akan beri maklumat lanjut," tambahnya.
Pada Isnin, sebuah lori melanggar dan merempuh beberapa buah kereta dan motosikal di Jalan Alternatif Cibubur, di Bekasi.
"Lori tersebut dalam perjalanan dari Cibubur ke Cileungsi ketika jalan raya semakin lengang," kata Pengarah Lantas Polda Metro Jaya, Kombes Latif Usman di lokasi kejadian.
Dalam kemalangan itu, sebanyak 12 kenderaan terlibat manakala 11 orang maut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram