PEMAIN tengah Kelantan FC, Syed Sobri Syed Mohamad berharap pasukannya tidak perlu lagi menghadapi perlawanan di sebelah petang kerana menyebabkan corak permainan pemain terjejas.
Menurut Syed Sobri, cuaca di Pantai Timur adalah berbeza dengan negeri-negeri lain di negara dan sukar untuk pemain untuk menyesuaikan diri bermain di bawah panas terik.
“Sebelum ini kami bermain sembilan perlawanan di sebelah malam jadi bila bermain waktu petang ini rasa sangat lain.
"Dapat lihat kedua-dua pasukan tak biasa dengan cuaca ini dan menampilkan permainan yang agak berbeza daripada yang biasa,” katanya kepada portal Harimau Malaya.
Bagaimanapun, beliau berterima kasih kepada para penyokong yang sanggup turun ke stadium walaupun panas terik.
Dalam pada itu, beliau yakin Kelantan mampu mengekalkan aksi konsisten ketika menentang Johor Darul Takzim (JDT) II pada perlawanan seterusnya.
“Dengan apa yang ditunjukkan hari ini (Isnin) saya yakin kami boleh teruskan momentum ini ketika perlawanan seterusnya," jelasnya.
Tonggak The Red Warriors (TRW) itu menjaringkan gol tunggal Kelantan FC pada perlawanan menentang UiTM FC pada Isnin di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan.
Kemenangan itu berjaya melonjakkan Kelantan ke tangga pertama Liga Premier sekali gus memintas Terengganu FC II. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram