'Jangan paksa saya dedah nama individu lulus projek durian Musang King'


  • Politik
  • Isnin, 18 Jul 2022

Sanusi turut meminta pembangkang supaya tidak terus mempolitikkan isu banjir di Baling. — Bernama

DATUK Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihak pembangkang tidak seharusnya memaksanya untuk mendedahkan nama individu yang meluluskan projek durian Musang King di Gunung Inas, dekat Baling, Kedah.

Menteri Besar Kedah itu mendakwa, beliau sudah mengetahui identiti individu yang meluluskan projek tersebut.

"Saya mendapat laporan daripada Jabatan Perhutanan Kedah mengenai tragedi kepala air dan banjir di Baling, seterusnya melihat surat kelulusan projek tersebut.

"Saya tahu siapa yang menandatangani surat untuk projek penanaman Musang King.

"Saya juga sudah ada kronologi daripada Jabatan Perhutanan, tetapi tidak adil untuk merujuk kepada satu jabatan sahaja," katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Speaker Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak dua usul tergempar yang dikemukakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang, berhubung isu kepala air dan usul menangguhkan mesyuarat DUN bagi membolehkan isu itu dibincangkan.

Sanusi berkata, beliau kini menunggu laporan teknikal daripada Jabatan Pengairan dan Saliran di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) di bawah Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, untuk membuat kesimpulan punca kejadian kepala air di Gunung Inas.

Pada masa sama, beliau turut meminta pembangkang supaya tidak terus mempolitikkan isu banjir di Baling.

Mengulas mengenai isu sama, Sanusi berkata, usul yang cuba dibentangkan pembangkang tidak mengikut peraturan DUN Kedah.

"Peraturan dibuat untuk memberi masa yang cukup kepada mereka yang ingin membahaskan usul untuk memberikan jawapan.

"Jika sesuatu isu dibangkitkan melibatkan laporan teknikal yang memerlukan laporan jabatan, maka kerajaan juga memerlukan masa untuk mendapatkan laporan itu.

"Kita tidak boleh bercakap sambil lewa di dalam dewan," katanya.

Terdahulu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, banjir di Baling pada 4 Julai lalu berpunca daripada takungan pecah di ladang durian Musang King di Gunung Inas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram