POLIS Kelantan menahan seorang lelaki Melayu berusia 35 tahun yang dipercayai menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW menerusi satu hantaran video di media sosial Facebook, pada Isnin.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya telah melakukan serbuan di Kampung Bagan Chekok, Pulai Chondong, Machang, Kelantan pada pukul 11.30 pagi Isnin, sejurus menerima laporan berkaitan perbuatan lelaki itu yang menghina agama Islam menerusi akaun Facebook Saidinar Dina (Bos Dina).
"Hasil serbuan, polis telah menangkap individu berkenaan yang merupakan suspek dalam video yang ditularkan itu dan suspek mengaku memuat naik video berdurasi empat minit 14 saat itu.
"Suspek yang ditahan itu tidak bekerja dan hasil ujian saringan air kencing dijalankan didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 298 dan 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan juga Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1995.
Permohonan reman terhadap suspek akan dilakukan pada Selasa, katanya.
Terdahulu tular di laman sosial klip video yang memaparkan kata kata penghinaan oleh suspek berkenaan sehingga menimbulkan kemarahan dan kegelisahan orang ramai. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram