TINDAKAN seorang lelaki yang disyaki mempermainkan isu agama mengundang padah apabila dia dipukul sekumpulan individu yang tidak dikenali yang jelas berang dengan perbuatan lelaki terbabit.
Dalam satu video yang dimuat naik di halaman Facebook Info Kemalangan Jalan Raya & Isu Semasa oleh Hafiz Aziz, memaparkan lelaki tersebut berlumuran darah.
"Akhirnya, lelaki yang hina Islam dapat habuan," katanya di hantaran status tersebut.
Kejadian yang dipercayai berlaku di Puchong itu tercetus selepas lelaki berkenaan memuat naik satu video yang dirakam oleh dirinya sendiri menghina agama Islam.
Dalam video berasingan yang tular di aplikasi Telegram Info Semasa Official, lelaki itu membuat provokasi dengan menghina Nabi Muhammad, ALLAH dan agama Islam.
Dia menyamakan Rasulullah dan tuhan dengan binatang selain menghamburkan kata-kata kesat pada umat Islam.
"Aku nak tanya pada umat Islam b*** ni? Nabi Muhammad kau itu sebenarnya kambing b***, ALLAH kau itu b***.
"Islam kau itu c***** s***," katanya.
Lelaki tersebut turut mencabar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) supaya terus membunuhnya atas kelantangannya bersuara.
Rentetan video tersebut telah mengundang kemarahan pada orang ramai sehingga menyaksikan sekumpulan individu mengambil tindakan sendiri dan berdepan dengan lelaki terbabit.
Turut tular satu video rakaman yang menunjukkan lelaki tersebut telah ditahan sepasukan polis di rumahnya.
Dalam pada itu, difahamkan lelaki tersebut ditahan pihak polis di sekitar kawasan Puchong, Selangor dan berita penahanan suspek kini tular di media sosial. — Majoriti