Lelaki celupar hina agama Islam disiasat Bukit Aman


  • 112
  • Ahad, 17 Jul 2022

Tangkap layar menunjukkan lelaki berkenaan teruk dibelasah orang awam sebelum dicekup pihak polis. — Facebook

SEORANG lelaki yang didakwa menghina agama Islam ditahan polis di Bukit Kuchai, Puchong dekat Serdang, Selangor pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, suspek berusia 39 tahun itu ditahan di sebuah rumah kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

"Kes ini disiasat oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Rakaman tular lelaki yang menghina agama Islam dicekup pihak polis pada Ahad. — Facebook

Dalam masa sama beliau menjelaskan, pihaknya juga akan menyiasat individu yang dipercayai terlibat memukul suspek.

"Dinasihatkan orang ramai agar tidak mengambil sebarang tindakan di luar batasan undang-undang dan biar pihak berkuasa jalankan siasatan," katanya.

Pada Ahad, tular rakaman video kenyataan seorang lelaki yang dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina agama Islam.

Turut tular rakaman lelaki terbabit yang cedera dipercayai dipukul individu yang berang dengan kenyataan lelaki itu.

Video kenyataan lelaki yang berdurasi lebih 30 saat itu turut dimuat naik oleh Pengerusi Semboyan Malaysia, Yusuf Azmi di laman Instagram rasminya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram