Duda celupar hina Islam di Puchong ditahan reman Isnin


  • 112
  • Ahad, 17 Jul 2022

Seorang lelaki yang dipercayai mengeluarkan kenyataan menghina Islam ditahan polis di Puchong, Selangor pada Ahad. — Facebook

SEORANG lelaki berstatus duda yang menghina agama Islam dan ditahan polis di Bukit Kuchai, Puchong pada Ahad akan direman di Mahkamah Majistret Sepang.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dan tangkapan dibuat susulan penularan satu video berdurasi 36 saat di media sosial yang memaparkan seorang lelaki menghina ALLAH, agama Islam dan bangsa Melayu.

Menurutnya, satu laporan polis dibuat orang awam pada pukul 3.28 pagi Ahad bersabit di Cyberjaya.

"Pada hari yang sama kira-kira pukul 12.30 tengah hari, polis melaksanakan tangkapan terhadap lelaki terbabit di sebuah rumah di Bukit Kuchai, Puchong, Selangor.

"Polis turut merampas satu telefon bimbit yang digunakan oleh suspek bagi merakam video itu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, suspek berusia 39 tahun dan bekerja sebagai penghantar makanan itu akan dibawa ke Mahkamah Sepang pada Isnin untuk permohonan reman.

Katanya, semakan dibuat mendapati suspek tidak miliki rekod jenayah lampau selain ujian saringan air kencing adalah negatif dadah.

"Setakat ini, terdapat enam laporan polis yang dibuat berkaitan dengan isu ini," ujarnya.

Tegasnya, kes disiasat oleh pihak Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan diklasifikasi di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

Tambahnya, orang ramai digingatkan supaya menghentikan spekulasi dan menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Polis juga mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil tindakan sendiri bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram