WANITA yang menimbulkan kontroversi semasa membuat persembahan di sebuah kelab komedi minggu lalu dan kekasihnya, sudah melunaskan ikat jamin RM40,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur serta Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.
Mengesahkan perkara itu, peguam, R Sivaraj yang mewakili Siti Nuramira Abdullah, 26, dan V Alexander Navin, 38, berkata, jumlah ikat jamin itu merupakan kutipan sumbangan orang ramai menerusi akaun bank pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, 'Lawyers for Liberty' (LFL).
Sekiranya ada sumbangan tambahan, beliau berkata, ia akan dipulangkan semula kepada penderma.
Menurutnya, urusan itu dibuat di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, Selangor.
"Saya tak pasti bila mereka akan dibebaskan, sebab saya percaya terdapat beberapa prosedur yang ditetapkan oleh pihak penjara sebelum membawa mereka keluar.
"Buat masa ini, Nuramira dan Alexander Navin masing-masing berada di Penjara Satelit Beranang serta Kuala Kubu Bharu, Selangor," katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin.
Bagaimanapun, peguam itu tidak dapat mengesahkan hubungan antara penjamin dengan pasangan itu sama ada saudara atau rakan.
Pada 13 Julai lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan menyebabkan rasa tidak harmoni dalam kalangan sesama Islam.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mengaku seorang Muslim, telah menghafal 15 juzuk al-Quran, bertindak membuka tudung dan baju kurung sewaktu membuat persembahan di atas pentas.
Sementara di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor, Alexander Navin, 38, turut mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan membuat dan memulakan hantaran video jelik di laman sosial Instagram serta YouTube, bulan lalu.
Sebelum itu, tular satu video berdurasi 54 saat memaparkan seorang wanita mendakwa dirinya beragama Islam dan menghafaz 15 juzuk al-Quran, bertindak menanggalkan baju kurung dan tudungnya dan hanya memakai pakaian mencolok mata sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.
Susulan itu, wanita itu ditahan di Jalan Gasing, Petaling Jaya, pada 9 Julai lalu dan direman selama tiga hari, manakala Alexander Navin ditahan pada 10 Julai. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram