PIHAK berkuasa perlu mengambil tindakan dan mengenakan hukuman lebih tegas terhadap individu serta mereka yang terlibat menghina peribadi Nabi Muhammad SAW.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, tindakan tegas perlu diambil demi memelihara kestabilan negara dan kesejahteraan hidup bermasyarakat.
Menurutnya, undang-undang sedia ada perlu disemak semula dan diperketatkan supaya dapat mengelakkan individu atau pihak tidak bertanggungjawab mengulangi perbuatan tersebut.
"Undang-undang sedia ada perlu disemak semula supaya tidak ada lagi yang berani untuk melakukan perbuatan biadab seperti itu.
"Pihak berkuasa perlu tegas dalam menangani isu ini kerana Nabi Muhammad SAW amat disanjung oleh umat Islam di seluruh dunia.
Tiada manusia lain yang disayangi oleh umat Islam seluruh dunia melainkan Nabi Muhammad SAW," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Wan Salim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan beberapa individu menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW yang tular di media sosial.
Katanya, Nabi Muhammad SAW bukan sahaja disanjung dan dihormati sebagai seorang pemimpin paling agung sepanjang zaman, malah satu figura suci yang wajib diikuti dan dijadikan teladan. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram