Lepas musibah banjir, kebakaran pula landa kampung di Baling


  • Massa
  • Selasa, 05 Jul 2022

Sebuah premis kedai runcit dalam keadaan terbakar dan pihak bomba sedang dalam perjalanan di kawasan kejadian. — Facebook

BENCANA banjir yang berlaku di Baling, Kedah menjejaskan seramai 334 penduduk sehingga merekodkan kematian akibat banjir kilat selepas hujan lebat berterusan lebih tiga jam, pada Isnin.

Antara kawasan terlibat ialah Kampung Iboi dan Kampung Tanjung Luas yang menerima limpahan air dari sebatang sungai berhampiran.

Bukan itu sahaja, sekurang-kurangnya 20 rumah penduduk di kawasan Kupang, Kedah juga terjejas akibat banjir kilat itu.

Belum selesai dengan bencana banjir di kawasan berkenaan, kini sebuah premis perniagaan milik mangsa banjir di Kampung Iboi, Kedah pula terbakar dipercayai berpunca dari api lilin yang menyambar minyak petrol.

Sebuah gambar posting yang dikongsikan oleh Baling Today Official di Facebook, memaparkan sebuah kedai runcit depan Kampung Masjid Iboi dalam keadaan terbakar dan pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran tersebut.



Memaparkan sebuah kedai runcit depan Kampung Masjid Iboi dalam keadaan terbakar.

Difahamkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.40 malam dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Di ruangan komen Facebook pula, rata-rata orang ramai mendoakan supaya urusan penduduk mangsa banjir di Baling dipermudahkan dan ada juga yang menayakan tentang kejadian tersebut.

"Subhanallah, ya Allah, permudahkan urusan mereka, sedihnya tengok keadaan mereka ini," kata Rasdzalyqa Zakaria.

"Ayah mentua kata kedai terbakar, semoga urusan mereka dipermudahkan allahuakhbar," jelas Khairol Azawati.

"Allahuakbar, lepas banjir terbakar pula, semoga Allah pelihara urusan mereka semua," ujar Nur Zaimah.

"Maklumat yang diterima, kebakaran berpunca daripada api lilin menyambar minyak petrol, bekalan elektrik putus, pasang lilin dekat dengan minyak petrol, kedai runcit terbakar," tulis Crafty Jnn.

Sehingga kini, posting tersebut meraih lebih 167 komen dan 879 tanda suka di Facebook.

Belum ada sebarang kenyataan rasmi daripada pihak berkuasa berhubung insiden itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Terbakar, Banjir, Baling, Kedah, Minyak Petrol