Dua kanak-kanak jadi korban banjir, tanah runtuh


  • Benua
  • Selasa, 12 Jul 2022

Hujan lebat yang melanda Kota Ambon sejak 19 Jun lalu menyebabkan kejadian banjir dan tanah runtuh. — Agensi

BANJIR dan tanah runtuh di Kota Ambon, Indonesia mengorbankan dua orang mangsa selain turut menyebabkan lima lagi mengalami kecederaan.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Wilayah (BPBD) Kota Ambon, Demy Paai berkata, seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut akibat tanah runtuh yang menimpa rumahnya.

Pada masa sama, seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun maut akibat banjir yang berlaku pada Jumaat, demikian menurut Demy seperti dipetik CNN Indonesia.

Selain itu, katanya, bencana alam itu menyebabkan dua orang dewasa dan dua kanak-kanak terpaksa dimasukkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan yang dialami.

Hujan lebat yang melanda Kota Ambon sejak 19 Jun hingga Isnin (11 Julai) menyebabkan banjir dan tanah runtuh di mukim Nusaniwe, Sirimau, Teluk Ambon.

Bencana tersebut menjejaskan 1,135 keluarga yang terdiri daripada 4,706 orang. — Agensi



Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram