SAYA terpanggil untuk berkongsi pengalaman mengenai kejadian banjir yang melanda Baling, Kedah, baru-baru ini.
Sebagai salah seorang yang terlibat secara langsung dalam Misi Sukarelawan Selangor Penyayang (MSP) - Bantuan Pasca Banjir, emosi saya sungguh terkesan melihat nasib mereka yang kehilangan harta benda, malah nyawa yang tersayang juga.
Terbit dalam diri betapa bersyukurnya kita yang masih boleh tidur bertilamkan katil dan bantal yang empuk, makan secukupnya dan menyambut Hari Raya Aidiladha dalam keadaan serba lengkap sedangkan mereka masih bergelumang emosi, trauma yang pastinya sukar untuk hilang.
Namun di sebalik musibah yang melanda ini, saya terharu melihat semangat rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu meringankan beban semua mangsa melalui bantuan wang ringgit, barangan, makanan mahu pun tenaga.
Lebih membanggakan, di kala inilah secara tidak langsung semangat perpaduan kaum jelas kelihatan apabila masyarakat tidak kira bangsa menggembleng tenaga dan mengulurkan bantuan dalam pelbagai bentuk tanda prihatin terhadap nasib mangsa-mangsa yang terlibat.
Hakikatnya, agenda politik dan kepentingan peribadi yang menyebabkan perpecahan dan permusuhan dalam kalangan kita, rakyat Malaysia, sedangkan di depan mata saya kini dengan jelas individu pelbagai kaum dari serata ceruk boleh bersama-sama membantu kerja-kerja pembersihan di rumah penduduk yang dilanda banjir.
Dapat dilihat sesekali mereka berhenti rehat makan minum bersama diselang seli dengan gelak tawa memecah lelah. Indahnya Malaysiaku.
Di kala musibah, masih ada terselit kebahagiaan.
Semoga kita semua sentiasa bersatu padu dalam keadaan sukar mahu pun senang kini dan akan datang kerana situasi semakin mencabar.
Buat pemimpin-pemimpin negara, ketepikanlah agenda dan kepentingan peribadi kerana ianya kelak hanya mencetuskan perpecahan dalam kalangan kami. — Majoriti
Noorashikin Binti Abd Latip, Pelajar Semester 2 Ijazah Sarjana Muda Komunikasi (Kepujian) Komunikasi Antarapersonal UiTM Shah Alam.
*Ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti.*
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram