Ambil tindakan tegas terhadap pesalah lalu lintas di ibu kota


  • Massa
  • Isnin, 11 Jul 2022

Kesesakan lalu lintas di KL masih sukar diselesaikan.

LAKSANAKAN undang-undang dengan adil.

Itu yang ditegaskan warga kota kepada Kementerian Wilayah Persekutuan supaya menyelia dan mengkaji aliran lalu lintas untuk mengurangkan kesesakan di bandar.

Kebanyakan mereka memberitahu bahawa pesalah lalu lintas perlu dihukum oleh pihak penguatkuasa.

"Isu kesesakan lalu lintas boleh diselesaikan jika penguatkuasa tegas dengan tindakan tanpa rasa takut dan pilih kasih.

"Pengguna jalan raya pasti takut bila melihat seorang anggota beruniform bersama sebuah trak tunda yang menjalankan penguatkuasaan," kata Anthony Tan dari Razak Mansion di Sungai Besi, Kuala Lumpur

Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis akan berusaha untuk menyuraikan lalu lintas di jalan-jalan utama di bandar ini pada waktu puncak.

Anggota penguat kuasa akan digerakkan ke 85 titik panas trafik untuk mengawal lalu lintas pada waktu pagi dan petang.

Jalaluddin mencadangkan enam cara untuk menangani kesesakan dalam jangka panjang, termasuk memperluaskan pengangkutan awam, penguatkuasaan laluan bas sahaja dan membina lebih banyak infrastruktur mesra pejalan kaki seperti laluan bawah tanah dan terowong bawah tanah.

Sementara itu, CH Yap, yang tinggal di Jalan Kuchai Lama berkata, DBKL perlu meningkatkan penguatkuasaan di kawasan komersial dan sekolah.

Beliau berkata, ini akan menghalang pemandu daripada melanggar peraturan.

"Saya melihat sendiri bagaimana orang ramai tiba-tiba menjadi pemandu yang bertanggungjawab apabila polis atau pegawai penguatkuasa hadir," katanya.

Pengerusi Rukun Tetangga Brickfields, SKK Naidu berkata, keputusan menggunakan 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) untuk memantau kesalahan lalu lintas adalah satu langkah yang tepat.

"Saya pernah melihat sistem ini berfungsi semasa lawatan ke Beijing, China.

"Kami berada di dalam bas dan pemandu meminta kami turun.

"Dia memberitahu kami bahawa orang di sana lebih takut kepada kamera berbanding polis.

"Tempat letak kereta di tepi jalan di Brickfields dihalang oleh orang yang bekerja di kawasan itu.

"Pemandu kenderaan tidak mahu meletak kenderaan di tempat letak kenderaan persendirian dalam bangunan komersial kerana cajnya lebih tinggi," kata Naidu yang mengesyorkan perlaksanaan had parkir dua jam di kawasan panas.

Dalam pada itu, peduduk di Brickfields, Dr Christopher Nicholas berkata, sejak sempadan antarabangsa dibuka semula pada 1 April, kesesakan di Kuala Lumpur dilihat semakin teruk.

"Dahulu jalan sesak di waktu punca, tetapi kini di luar waktu puncak pun sudah mula sesak dan pihak berkenaan perlu tahu sebabnya," katanya.

Penduduk Bangsar, Sham K berkata, peningkatan kereta di jalan raya mungkin disebabkan oleh kenaikan kos e-hailing.

"Tambang naik tiga kali ganda dan orang yang dahulunya memilih e-hailing kini mula memandu sendiri," katanya.

Seorang penduduk Happy Garden di Jalan Kelang Lama yang enggan namanya disiarkan berkata, pakar perlu berada dalam bahagian penguatkuasaan lalu lintas di Kuala Lumpur.

"Mereka harus terdiri daripada pakar pengangkutan bandar serta perunding lalu lintas dan perancang.

"Jika tidak, masalah kesesakan lalu lintas tidak akan selesai sampai bila-bila," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram